Noraini Meriahkan Senamrobik Mega Wanita Perpaduan, Amalkan Gaya Hidup Sihat
KUALA LUMPUR, 3 Feb – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berbesar hati menyertai program Senamrobik Mega Wanita Perpaduan yang diadakan di perkarangan Wisma UMNO Kepala Batas semalam.
Menerusi perkongsian di Facebook, Ketua Wanita UMNO Malaysia itu merasmikan program berkenaan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada wanita yang hadir daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Turut hadir ADUN Bertam merangkap Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang, Nor Hafizah Othman; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Roslan Saidin; Ketua Puteri UMNO Kepala Batas, Farah Izzati Abdul Rahman, Presiden Senam Robik Malaysia, Makwan Bee Majid dan kepimpinan Perpaduan Kepala Batas.
Noraini turut sama merakamkan penghargaan dengan penganjuran program seumpama ini sambil menyifatkan ia sebagai program yang bermanfaat terutama kepada golongan wanita.
Sementara itu menerusi perkongsian berbeza, Noraini turut sama memanfaatkan keberadaan beliau ke Pulau Pinang untuk menyantuni Exco Wanita UMNO Malaysia, Zarina Abdol Majid yang baru sahaja kehilangan suami.
Beliau pada masa sama turut berharap Zarina dan keluarga untuk bersabar dengan ujian yang menimpa dan mendoakan agar allahyarham ditempatkan bersama hamba yang beriman.
“Puan Zarina baru sahaja kehilangan arwah suaminya pada 17 Januari yang lalu. Sesungguhnya kehilangan orang yang tersayang pasti memberikan kesan buatnya sekeluarga. Semoga Puan Zarina dan keluarga terus tabah dalam menempuhi hari-hari yang mendatang.
“Semoga roh Allahyarham Azhar bin Jamaluddin ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Insyaa-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online