Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan Dan Perikanan Negeri Pahang Ke Australia
KUALA LUMPUR, 2 Feb – Kerajaan Negeri Pahang mengadakan Lawatan Teknikal Penandaarasan Sektor Pertanian, Penternakan dan Perikanan Negeri Pahang ke Australia bermula 28 Januari hingga 4 Februari ini.
Delegasi yang diketuai oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan turut disertai Exco Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak, telah mengadakan pelbagai pertemuan dan lawatan bagi memperkukuh sektor keterjaminan makanan negeri Pahang.
Menerusi satu kenyataan media, Wan Rosdy berkata sepanjang lawatan, delegasi ini telah mengadakan beberapa sesi lawatan teknikal ke lokasi-lokasi strategik seperti:
1. Mainstream Aquaculture, Werribee Victoria, bagi menelihat teknologi dan sistem penternakan ikan siakap (barramundi).
2. Goulburn Valley Creamery dan ladang lembu Greater Shepparton, bagi melihat proses penghasilan produk tenusu bersama Farm Fresh Berhad.
3. Rumah Penyembelihan Ternakan JBS, bagi melihat proses penyembelihan dan pemprosesan daging yang mematuhi pensijilan halal oleh pihak berkuasa Australia.
4. Melawat ladang ternakan lembu dan bebiri di Cobram yang diusahakan oleh anak jati Temerloh Pahang, Encik Mohd Zaki Mat Lias.
5. Melawat ladang Fidlot Ulupna Pastoral, bagi meninjau penternakan lembu wagyu dan angus berkualiti tinggi.
6. Menyantuni komuniti Islam Cobram, bagi mengeratkan hubungan serta memperteguh syiar Islam di luar negara.
Jelas Wan Rosdy lagi, sebanyak enam Memorandum Persefahaman (MoU) telah berjaya dimeterai sepanjang lawatan kerja ini, iaitu:
1. AGK Dairy Fresh Sdn Bhd dan Austrex Co, bagi menjalin kerjasama strategik pembangunan industri daging wagyu di Pahang.
2. Yayasan Pahang dan Komuniti Islam Cobram, bagi melaksanakan program Tafaqquh Fiddin, tenaga pengajar, dan penyediaan bahan rujukan Islam.
3. Rangkaian Delima Sdn Bhd dan JBS Australia PTY Limited, bagi menjalin kerjasama dalam pengimportan, pengedaran, dan pembangunan produk halal berasaskan daging.
4. Rangkaian Delima Sdn Bhd, ZML Agritrade PTY LTD dan Australia Halal Authority and Advisers, bagi menjalin Kerjasama dalam memastikan rantaian bekalan halal yang patuh syariah.
5. Lembaga Kemajuan Pertanian Pahang (LKPP) dan ZML Agritrade PTY LTD, begi melaksanakan projek ternakan kambing dan bebiri berkualiti tinggi.
6. Yayasan Pahang dan ZML Agritrade PTY LTD, bagi melaksanakan pembangunan latihan, amali dan jaminan kerjaya anak Pahang dalam pertanian, penternakan dan perikanan.
Seterusnya kata Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO, lawatan ini adalah satu langkah strategik dalam memastikan Pahang terus mengorak langkah sebagai peneraju dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan utama di Malaysia.
“Dengan pemindahan teknologi dan kerjasama yang terjalin, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberi manfaat kepada rakyat, meningkatkan keterjaminan makanan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Pahang.
“Semoga segala usaha untuk meningkatkan pembangunan di negeri Pahang mendapat rahmat serta keredhaan Allah SWT,” katanya. – UMNO ONLINE