#GerikDiHatiKu: Dr Asyraf Turun Padang Santuni Rakyat
KUALA LUMPUR, 2 Feb – Satu hakikat yang tidak boleh disangkal, Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sentiasa turun padang menyantuni rakyat termasuklah di kawasan Parlimen Gerik.
Dalam satu perkongsian di laman Facebook, seusai mesyuarat bersama kepimpinan UMNO Pulau Pinang di Seberang Jaya, beliau terus bergegas ke Pengkalan Hulu, Gerik apabila menerima mesej daripada Pak Mail dari Kg. Gok Yong, Pengkalan Hulu yang meminta bantuan kerusi roda buat anaknya yang ditimpa kemalangan jalan raya mengakibatkan patah kaki.
Tanpa berlengah, Dr Asyraf segera ke kampung tersebut bagi menyampaikan bantuan kerusi roda buat anak Pak Mail.
Sementara itu juga, Dr Asyraf mengambil peluang ziarah dan bertanya khabar Haji Manas dan Hajjah Noreha yang baru selesai mengerjakan umrah di tanah suci.
Kemudian, beliau turut menziarahi En. Amran Ketua Kg. Kuak Luar yang isterinya menghadapi penyakit strok di Charok Merbau, Kg. Kuak Luar dan bertanya khabar, ziarah Abang Khalid Jusoh, mantan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Gerik di Taman Kroh Indah.
“Semoga Allah permudahkan urusan, berikan kesihatan dan mengangkat segala penyakit buat kita semua.
“Semoga ikatan ukhuwah sesama kita ini terus berkekalan,” ujarnya yang sentiasa menampilkan tanda pagar #GerikDiHatiKu di media sosialnya itu selain #HidupBiarBerjasa dan #HidupKuMilikUmmah.
Terdahulu di statusnya, Dr Asyraf pada petang Jumaat bertemu dengan tokoh pejuang dan veteran UMNO yang amat beliau hormati iaitu Tan Sri Tajol Rosli Ghazali bekas Menteri Besar Perak, Pengerusi MARA dan Ahli Parlimen Gerik sambil menadah pelbagai ilmu politik dan kemasyarakatan.
“Banyak saya belajar dan mengambil pedoman daripada tokoh negarawan dan orang lama yang penuh hikmah dan pengalaman. Benarlah kata-kata Saidina Ali yang mengingatkan supaya sentiasa mengambil manfaat daripada orang lama:
حكمة الشيوخ و حماسة الشباب
“Kebijaksanaan orang tua (untuk diteladani) dan semangat orang muda (untuk disantuni).”
“Moga Allah rahmat dan berkati Tan Sri sekeluarga yang banyak jasanya kepada negara, rakyat Perak dan orang Gerik,” katanya. – UMNO ONLINE