Ahmad Zahid Bertemu UMNO P. Pinang, Kesepaduan Kunci Kemenangan
KUALA LUMPUR, 2 Feb – UMNO bukan sekadar sebuah parti, tetapi sebuah wadah perjuangan yang telah teruji zaman, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pertemuan bersama Ketua UMNO Bahagian-bahagian Pulau Pinang petang Sabtu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan satu perkara utama iaitu kesepaduan adalah kunci kepada kemenangan.
“UMNO mesti terus teguh dalam menghadapi setiap cabaran.
“Kita perlu bangkit sebagai satu kesatuan yang padu, menegakkan disiplin, dan mempertahankan maruah perjuangan,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi satu hantaran di laman Facebook dan akaun X.
Seterusnya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berharap dengan kebersamaan yang kukuh, kita akan membina warisan perjuangan yang lebih gemilang.
Terdahulu di dalam platform yang sama, Ahmad Zahid memaklumkan beliau akan hadir ke Podcast Utama Buletin TV3, di mana akan berkongsi pandangan dan membincangkan pelbagai topik menarik.
Ahmad Zahid menjemput semua menyaksikan podcast tersebut yang akan berlangsung secara strim di YouTube dan Facebook Buletin TV3 pada pukul 10 pagi ini. – UMNO ONLINE