Dr Asyraf Bantu Rumah Uzur Uncle Acai Di Pengkalan Hulu
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan simpati beliau dengan keadaan Phoon Kee Wai, 71 tahun dan keluarganya yang tinggal di rumah uzur.
Beliau yang dalam lawatan kerja ke Gerik berkunjung ke rumah tersebut selepas mendapat aduan berkenaan.
“Perbualan yang menusuk jiwa saya bersama Uncle Acai, seorang penoreh getah buat hati saya benar-benar tersentuh apabila melihat tentang keadaan rumah Uncle Acai, seorang warga emas yang sangat uzur di Kampung Baru, Pekan Kroh, Pengkalan Hulu.
“Tergamam melihat rumah kecil yang serba uzur ini. Tidak terbayang bagaimana Uncle Acai bertahan dalam cuaca yang tidak menentu dengan keadaan bumbung yang bocor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Dr Asyraf yang juga Pengerusi MARA turut sama menyatakan komitmen beliau untuk membantu permohonan Phoon Kee Wai membaik pulih rumah berkenaan.
“Insya-Allah, kita akan segera membantu. Saya telah berbincang dengan pihak berkaitan untuk memastikan rumah Uncle Acai dibaik pulih dengan segera,” ujar beliau. – UMNO Online