Peduli Rakyat: Keprihatinan UMNO Terus Bergema Di Bumi Labuan
LABUAN, 21 Jan – Program Peduli Rakyat anjuran UMNO Bahagian Labuan terus menjadi bukti keprihatinan parti terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.
Di bawah kepimpinan Ketuanya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, program ini diteruskan dengan agihan bantuan beras sebanyak 100 kilogram kepada 12 keluarga yang bakal melangsungkan perkahwinan minggu depan.
Dalam hal ini Mohd Rafi menyatakan rasa syukur atas kelancaran program yang direncana sejak setahun lalu dan mendoakan agar semua pasangan pengantin dilimpahi rahmat serta dipermudahkan urusan majlis perkahwinan mereka.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan kepimpinan Wanita UMNO yang diketuai oleh Niswati Tarji atas usaha gigih mereka melaksanakan program ini.
“Wanita UMNO telah lama menjadi tulang belakang parti. Kehadiran mereka sentiasa menceriakan dan memperkukuhkan setiap usaha yang dijalankan, termasuk program Peduli Rakyat ini,” ujar beliau.
Selain Wanita UMNO, program ini turut mendapat sokongan padu daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian dan ketua-ketua UMNO cawangan serta penduduk setempat yang sentiasa mendukung perjuangan UMNO.
“Keberadaan mereka mencerminkan semangat setiakawan dan keprihatinan dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Program ini bukan sekadar bantuan fizikal, tetapi simbol komitmen UMNO dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat. Sebagai parti politik yang telah lama berakar umbi dalam masyarakat, UMNO sentiasa memastikan dasar dan inisiatif mereka memenuhi aspirasi rakyat, termasuk di kawasan seperti Labuan.”
Mohd Rafi menegaskan bahawa perjuangan UMNO adalah untuk memastikan rakyat tidak terpinggir, terutamanya golongan yang memerlukan sokongan dan bantuan.
“Program seperti Peduli Rakyat ini merupakan salah satu cara untuk mendekati masyarakat dan mendengar keperluan mereka secara langsung.
“Kami percaya rezeki yang dikurniakan Allah perlu dikongsi, dan selagi kudrat dikandung badan, kami akan terus berkhidmat untuk rakyat,” tambah beliau dengan penuh semangat.
Sehubungan itu, Mohd Rafi memaklumkan bahawa UMNO Labuan bertekad untuk meneruskan program-program kebajikan seperti ini demi kesejahteraan rakyat.
“Dengan semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak, UMNO Labuan berharap dapat menjadi penggerak utama dalam memastikan rakyat terus merasai nikmat pembangunan dan kemajuan.
“Melalui inisiatif seperti Peduli Rakyat, UMNO bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara parti dan masyarakat. Ini adalah bukti nyata bahawa UMNO sentiasa berusaha mendekati dan memahami keperluan akar umbi, selaras dengan prinsip parti yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan,” katanya lagi. – UMNO Online