UMNO Sabah Ada Kuasa Autonomi Sendiri, Mengapa Harus Sibuk Rumah Tangga Orang?

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menempelak segelintir pihak yang seakan mahu mencampuri hal tadbir urus UMNO Sabah khususnya membabitkan kuasa autonomi.

Menurut beliau ini kerana telah terpahat dalam sejarah dan arena politik negara UMNO Sabah mempunyai kuasa autonomi selepas sahaja mesyuarat khas bersempena Persidangan Agung UMNO 2019 (PAU) meluluskan pindaaan perlembagaan UMNO.

“Saya rasa tiada keperluan pihak lawan mengulas soal isu Kuasa Autonomi UMNO Sabah. Malulah sikit mahu isukan rumah tangga orang, UMNO Sabah ada kuasa autonomi. Mengapa harus diisukan rumah tangga orang?

“UMNO Sabah mendapat kuasa autonomi bukan dari perundingan meja bulat atau kedai kopi tetapi UMNO Sabah mendapat kuasa autonomi diluluskan ketika pindaan usul mesyuarat khas bersempena Persidangan Agung UMNO 2019.

“Hadam dan fahamkan kenyataan Ketua Pengerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir agar tidak menjaga rumahtangga orang” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sharif Musa dalam pada itu turut sama turut sama meluahkan kepercayaan dengan kepimpinan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang akan membuat keputusan tepat memilih rakan politik yang sewajarnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau mengakui bahawa ramai parti menyatakan hasrat untuk bergabung bersama UMNO Sabah bagi menghadapi PRN, namun Presiden Datuk Seri Panglima Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menjelaskan soal gabungan dengan parti lain hanya akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.

“Bukanlah maksudnya Kuasa Autonomi UMNO Sabah hilang, Yb. Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin sendiri menyatakan, UMNO Sabah akan mengambil langkah untuk memperkukuhkan parti di semua peringkat terlebih dahulu sebelum memikirkan soal kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Rasanya tidak timbul soal Kuasa Autonomi UMNO Sabah, tetapi soal parti yang mahu meminang bergabung dengan UMNO Sabah, mereka takut UMNO Sabah menolak pinangan parti mereka sehingga timbul isu Kuasa Autonomi UMNO Sabah.

“Kami percaya, di bawah kepimpinan Datuk Seri Bung akan membuat keputusan tepat memilih pinangan parti mana yang akan diterima pastinya parti yang akan melahirkan zuriat, bukan parti yang bantut atau pondan,” ujar beliau.

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa UMNO Sabah mempunyai autonomi tersendiri untuk melakar dan menentukan hala tuju politik sendiri dan berkata UMNO Pusat tidak pernah mencampuri hal ehwal UMNO Sabah untuk menentukan rakan gabungan pada PRN akan datang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit