Malaysia Syukur Gencatan Senjata Gaza, Komitmen Terhadap Palestin Terus Kukuh – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Malaysia menzahirkan rasa syukur atas pengumuman gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang telah meragut puluhan ribu nyawa rakyat Palestin dan mencetuskan ketegangan yang berpanjangan di Asia Barat.

Demikian kenyataan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikutan perkembangan terkini berkaitan isu terbabit.

Ujarnya, gencatan senjata awal selama enam minggu ini, yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, adalah hasil rundingan bersama Mesir dan Qatar.

“Sebagai negara yang sentiasa mendukung perjuangan Palestin, Malaysia tetap berpendirian tegas menentang sebarang bentuk pendudukan secara haram di Gaza.

“Kami juga menyokong sepenuhnya usaha pertukaran tahanan rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada proses pendamaian yang lebih luas,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid menyuaran seruan agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan segera kepada rakyat Palestin yang kini berdepan dengan krisis bekalan makanan, sumber air bersih, bahan api, serta keperluan perubatan dan kesihatan.

“Kami juga berharap usaha restorasi pasca perang dapat dilaksanakan dengan berkesan untuk membantu lebih 2.3 juta penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang berpanjangan ini.

“Kita sebagai rakyat Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Palestin dan menyeru komuniti antarabangsa untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memastikan kestabilan dan keamanan di rantau ini.”

Terdahulu katanya, angkah ini merangkumi penarikan balik tentera Israel secara berperingkat serta pembebasan tebusan oleh Hamas, dan dijangka berkuat kuasa pada hari Ahad ini.

“Langkah ini adalah satu permulaan ke arah menamatkan krisis yang telah berlangsung lebih 460 hari dan menghentikan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan.”

Sebelum ini, perunding proses damai akhirnya mencapai kesepakatan pada Rabu untuk melaksanakan gencatan senjata di Genting Gaza selepas lebih 15 bulan wilayah tersebut dihujani bom dan meragut lebih 46,000 nyawa. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit