‘Kita Perlu Gembleng Tenaga, Pastikan Malaysia Kekal Teraju Industri Halal Global’ – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua pihak untuk menggembleng tenaga bagi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri halal global.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) bagi penyelarasan agenda halal negara pada Jumaat.
“Di pagi ‘sayiddul ayyam’ ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) untuk penyelarasan agenda halal negara.
“Mesyuarat ini merupakan langkah susulan kepada dapatan daripada Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024 yang diadakan tahun lalu. Bengkel tersebut telah mengenal pasti beberapa ‘game changer’ utama untuk memperkasakan industri halal negara.
“Fokus utama mesyuarat kali ini adalah untuk merangka pembangunan industri halal secara holistik bagi jangka masa panjang dan mengkoordinasikan ekosistem halal secara lebih efektif,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurutnya, mesyuarat telah bersetuju untuk mewujudkan makmal kajian bagi tujuan ‘game changer’ dalam mentransformasikan ekosistem halal negara.
“Mesyuarat turut bersetuju mewujudkan makmal kajian bagi melaksanakan game changer yang telah dipersetujui dalam Bengkel Transformasi Ekosistem Halal 2024.
“Kita perlu menggembleng usaha bersama untuk memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri halal global. Agenda halal ini bukan sahaja agenda nasional, tetapi juga tanggungjawab kita demi agama dan kesejahteraan ummah.
“Semoga usaha ini membuahkan hasil dan terus memperkasakan industri halal negara. Insya-Allah,” katanya. – UMNO Online