Akmal Selesai Mengundi, Seru Rakyat Melaka Tunaikan Tanggungjawab
JASIN, 14 Nov – Insan tersayang mengiringi calon Barisan Nasional (BN), Dr Akmal Saleh menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan Merlimau, di sini, pagi ini.
Akmal tiba kira-kira jam 8.45 pagi dengan ditemani isteri, ibu serta ahli keluarga lain bagi melaksanakan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Kehadiran beliau turut menarik perhatian masyarakat setempat yang berada di pusat mengundi berkenaan, dengan suasana pagi yang menyaksikan pengundi mula hadir untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Selesai membuang undi, Akmal melahirkan rasa syukur kerana berpeluang melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia bersama keluarga dalam suasana proses pengundian yang berjalan lancar.
“Alhamdulillah, hari ini saya bersama keluarga telah selamat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang warga negara Malaysia untuk Pilihan Raya Negeri Melaka.
“Alhamdulillah, prosedur berjalan dengan baik. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua, dan juga petugas SPR yang saya rasa dapat melaksanakan tanggungjawab dan tugas mereka dengan sangat cemerlang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kehadiran pengundi pada awal pagi sebagai perkembangan yang baik dan berharap lebih ramai rakyat Melaka mengambil kesempatan untuk keluar mengundi.
“Saya harap semua yang boleh mengundi, semua rakyat Melaka, laksanakan tanggungjawab anda pada hari ini, insya-Allah,” katanya.- UMNO Online
