Mohd Zaidy Komited Bersama Masyarakat, Sokong Usaha Demi Kesejahteraan Rakyat
JEMPOL, 9 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, terus aktif dalam memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, menerusi pelbagai inisiatif dan usaha berterusan.
Dalam kunjungannya ke Masjid FELDA Palong 2 baru-baru ini, beliau meninjau perkembangan kerja-kerja naik taraf masjid tersebut yang kini melibatkan pembaharuan struktur mihrab serta penambahbaikan lantai kaki lima untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan jemaah, khususnya warga emas dan kanak-kanak.
“Saya amat berbangga dengan kerjasama erat masyarakat FELDA Palong 2, terutama semangat gotong-royong yang ditunjukkan. Masjid bukan sahaja tempat ibadah, tetapi juga pusat penyatuan masyarakat,” kata beliau.
Mohd Zaidy turut memberi komitmen untuk memantau kemajuan projek tersebut hingga selesai, membantu mendapatkan peruntukan tambahan jika diperlukan, dan memastikan kerja-kerja tersebut memenuhi piawaian terbaik.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru masyarakat untuk terus menyokong dan menjaga masjid sebagai pusat kebanggaan bersama.
Menerusi perkembangan lain, beliau turut meluangkan masa ke SJKT Ladang Jeram Padang yang mencatat sejarah baharu dengan penganjuran Hari Anugerah Cemerlang 2024 yang berlangsung meriah.
Program itu diadakan bagi mengiktiraf pencapaian pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Mohd Zaidy yang hadir menyampaikan ucapan penuh inspirasi, menekankan pentingnya pendidikan sebagai asas pembangunan individu dan masyarakat.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa usaha kolektif antara guru, ibu bapa, dan komuniti mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pendidik SJKT Ladang Jeram Padang atas dedikasi mereka dan menegaskan sokongan beliau terhadap penambahbaikan prasarana serta pelaksanaan program pendidikan di sekolah tersebut. – UMNO Online