Mohd Zaidy Seru Terus Satu Hati, Perjuangkan Keadilan Berlandaskan Kedaulatan Undang-Undang
KUALA LUMPUR, 6 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, hari ini menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya ahli-ahli UMNO, untuk terus bersatu dalam semangat solidariti dan menyuarakan sokongan kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya keputusan Mahkamah Rayuan hari ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memastikan keadilan dapat ditegakkan dengan sebaiknya.
“Teruskan permuafakatan dan bersatu hati. Jangan biarkan pihak luar menangguk di air keruh dan meraih keuntungan atas perjuangan serta proses keadilan yang panjang bagi mantan Presiden UMNO ini.
“UMNO kekal komited dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat termasuklah Datuk Seri Najib di bawah prinsip keadilan serta keluhuran undang-undang,” tegas beliau kepada UMNO Online.
Mohd Zaidy turut menyatakan bahawa kehadiran orang ramai yang membanjiri Istana Kehakiman pagi tadi mencerminkan keprihatinan rakyat dalam mendambakan keadilan ditegakkan dengan tulus, telus, dan saksama.
Dalam hal ini beliau turut mengimbas kembali sumbangan besar Najib selaku negarawan yang membawa kepada pembangunan negara, termasuk melalui dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan konsep 1Malaysia yang telah memberikan impak positif kepada rakyat.
“Hasil kerja keras beliau, Malaysia menjadi sebuah negara yang dihormati di mata dunia. Namun, perjalanan ini penuh dengan ujian. Kita akui bahawa undang-undang adalah tiang keadilan, tetapi kita juga harus dipastikan ia dilaksana dengan telus tanpa prasangka.
“Kita berharap agar institusi kehakiman negara terus menjunjung tinggi integriti dan keadilan, selari dengan prinsip ‘Kedaulatan Undang-Undang’ yang kita pegang bersama,” tambah beliau lagi.
Hari ini, Mahkamah Rayuan dalam majoriti 2-1 telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum Diraja yang akan membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah, kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya. – UMNO Online