Khaled Gesa Berhenti Politikkan Isu Pengampunan Najib

KUALA LUMPUR, 4 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menggesa semua pihak agar berhenti mempolitikkan isu pengampunan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

Tegasnya, proses pengampunan Najib bukan modal politik untuk mana-mana pihak dan menjadikan ia taruhan untuk populariti adalah sangat tidak bermoral.

“Nampaknya ada parti politik yang menjadikan proses pengampunan Najib itu modal politik mereka.

“Bersolidariti secara bermusim itu sangat memualkan. Apa lagi setelah mengenang segala nista yang pernah mereka lemparkan terhadap mantan Presiden UMNO tersebut,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal tersebut hari ini.

Ujar Mohamed Khaled, iltizam UMNO memperjuangkan keadilan bagi Najib adalah nyata dan tidak akan terhenti.

Katanya, ia akan dilakukan secara perlembagaan dan tidak akan tersasar dari proses undang-undang.

“Ramai yang bertanya kenapa UMNO tidak boleh terpisah dengan bekas Presidennya.
Jawapannya ialah kerana UMNO setia dengan bekas Presiden atas jasanya pada bangsa dan negara.

“Apa jua kekurangan dan kelemahan, justeru jika ada kesalahan sekalipun, tidak akan dapat mengatasi lautan darmabaktinya pada tanah air dan bangsa. Dan UMNO tidak akan meminggirkan mereka yang bersetia dengannya. Apalagi pada seorang bekas Presidennya.

“Maka demikianlah UMNO dalam persahabatannya dengan Najib.”

Kerana itu, ujar Mohamed Khaled, UMNO akur dengan hikmah diraja dan senantiasa akan bertindak secara berpelembagaan.

“Mereka yang menegaskan himpunan 6 Januari ini sah dan akan meneruskannya, membelakangi nasihat pihak berkuasa, adalah pemain ‘politik tanpa moraliti’.

“Jika agama dan kaum pun dijadikan komoditi politik oleh kumpulan tersebut, inikan pula kes Najib.

“Bagi mereka, moral, undang-undang, perlembagaan, keamanan negara, perpaduan nasional serta keharmonian beragama, semua itu bukan asbab untuk mereka berpolitik. Semua itu, tersedia untuk dieksploitasi demi ‘optik’ politik, tidak lebih dari itu,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit