Isu Najib: Wanita UMNO Junjung Titah Agong, Hormati Perlembagaan
KUALA LUMPUR, 4 Jan – Wanita UMNO Malaysia dengan penuh hormat menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta menghormati Perlembagaan dan undang-undang negara.
Setiausahanya, Datuk Rosni Sohar berkata
Wanita UMNO Malaysia menghormati sepenuhnya kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Kami percaya bahawa ihsan dan kebijaksanaan Tuanku akan membawa keadilan kepada Najib dan ke arah penyatuan negara.
“Kami turut mengambil kira arahan Setiausaha Agung UMNO serta gesaan Ketua Polis Negara, dan menyokong keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan aman yang dirancang pada 6 Januari 2025 demi menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat.
“Meskipun mobilisasi solidariti tidak diteruskan, perjuangan untuk keadilan akan diteruskan dengan mematuhi lunas undang-undang dan perlembagaan. Kami yakin bahawa usaha ini akan menghasilkan keputusan yang terbaik untuk pemimpin kami, parti, dan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Rosni, Wanita UMNO Malaysia mengutamakan keselamatan dan ketenteraman awam sebagai keutamaan tertinggi.
“Oleh itu, kami menyeru kepada semua pihak untuk mematuhi seruan Polis Diraja Malaysia demi memastikan keamanan negara terus terpelihara.
“Wanita UMNO Malaysia percaya bahawa jasa dan pengorbanan Najib untuk negara akan terus dihargai. Kami komited untuk memastikan keadilan terus ditegakkan mengikut lunas undang-undang.
“Sebagai tulang belakang parti yang konsisten dalam memperjuangkan kesetiaan kepada Raja dan Negara, kami menyatakan komitmen penuh kepada titah Tuanku untuk menghormati kuasa prerogatif Agong dan menyerahkan segala usaha ini kepada Allah SWT. Kami yakin hanya Dia yang Maha Merancang dan Maha Menentukan hasilnya.”
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa Wanita UMNO Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua ahli Wanita UMNO dan rakyat Malaysia atas semangat setiakawan yang tidak pernah luntur.
“Sokongan padu ini adalah lambang keutuhan dan kesetiaan kita terhadap pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negara.
“Kami berharap dan berdoa agar keadilan dan belas ihsan daripada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan menyinari perjuangan ini demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya lagi. – UMNO Online