Fahami Keputusan… UMNO Terengganu Sokong Pembatalan Himpunan Solidariti
KUALA TERENGGANU, 4 Januari 2025 – UMNO Terengganu menyatakan pendirian menyokong keputusan Ibu Pejabat UMNO untuk membatalkan Perhimpunan Solidariti Bersama Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan berlangsung pada 6 Januari di Putrajaya.
Dalam satu kenyataan rasmi, Badan Perhubungan UMNO Terengganu menegaskan bahawa parti itu sentiasa menjunjung tinggi prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara serta menghormati titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, UMNO Terengganu turut mengambil maklum saranan Ketua Polis Negara berhubung aspek keselamatan dan ketenteraman awam berkaitan perhimpunan tersebut.
“Maka dengan ini, UMNO Terengganu juga membatalkan arahan kepada UMNO bahagian-bahagian di seluruh negeri untuk menghadiri perhimpunan tersebut,” menurut kenyataan itu.
UMNO Terengganu turut merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli yang telah menunjukkan semangat solidariti tinggi dan menegaskan komitmen ini akan terus dizahirkan dalam acara yang lebih sesuai pada masa akan datang.
Berhubung dakwaan mengenai Titah Adendum dalam kes Datuk Seri Najib, UMNO Terengganu kekal dengan pendirian bahawa semua saluran undang-undang perlu dipatuhi bagi memastikan pelaksanaan perintah tahanan di rumah dapat direalisasikan sewajarnya. – UMNO ONLINE