Jeffery Nor Ingatkan Kepentingan Berpolitik Secara Matang, Hindari Provokasi

KOTA KINABALU, 3 Jan – Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed, menegaskan pentingnya setiap pemimpin dan penyokong parti untuk menjaga tutur kata serta menghindari sebarang provokasi yang boleh mengundang ketegangan politik.

Beliau mengingatkan bahawa kestabilan Kerajaan Perpaduan yang wujud hari ini adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk sumbangan signifikan daripada parti di Sabah.

Oleh itu katanya, setiap pihak diseru agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutama yang berpotensi mencetuskan ketegangan antara pemimpin dan penyokong parti.

“Kita harus sedar bahawa kejayaan pembentukan Kerajaan Perpaduan ini adalah hasil usaha bersama. Pemimpin dan penyokong perlu lebih matang dalam bermain politik dan elakkan daripada membuat kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan baik antara parti,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan beberapa pihak yang membuat tuduhan tidak tepat terhadap UMNO ekoran mendukung Himpunan Solidariti kepada Datuk Seri Najib Razak yang bakal diadakan Isnin nanti.

Jeffery Nor menegaskan komitmennya untuk terus mematuhi arahan parti dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang berunsur provokasi serta mengajak semua pihak untuk mengutamakan keharmonian dan kestabilan politik negara.

“Kita semua perlu memainkan peranan untuk memastikan perpaduan ini terus utuh demi kepentingan rakyat dan negara,” tambahnya.

Beliau juga berharap semua pihak agar lebih berhemah dalam berpolitik serta tidak membiarkan emosi mengatasi pertimbangan rasional dalam membuat sebarang kenyataan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit