UMNO Kelantan Teguh Pendirian Najib Perlu Perbicaraan Adil, Bersolidariti Pada 6 Januari

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob berkata UMNO negeri terbabit tetap dengan pendirian bahawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak perlu mendapat keadilan.

Katanya, pendakwaan ini adalah pendakwaan terpilih oleh Perdana Menteri ketujuh dan diteruskan kebobrokan itu oleh Perdana Menteri kelapan.

“UMNO kekal dengan pendirian bahawa Datuk Seri Najib Razak telah dinafikan perbicaraan yang adil dan ianya suatu perancangan rapi oleh Mahathir bersama Muhyiddin untuk menghapuskan pengaruh beliau.

“Himpunan ini adalah himpunan aman tanda solidariti kepada bekas pemimpin kami yang terang-terang dianiayai.

“UMNO kekal menyokong Kerajaan Perpaduan pada hari ini dan menjaga keharmonian hubungan antara parti Kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Pada masa yang sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menegaskan bahawa Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng tidak perlu gusar dan takut pada bayangan sendiri.

“Guan Eng tidak perlu takut pada bayang sendiri walaupun Pas memberi arahan kepada ahlinya untuk hadir memberi sokongan. Ianya tiada kaitan dengan mana-mana agenda politik.

“Guan Eng tidak perlu kepanasan apabila ribuan ahli UMNO akan berhimpun di Putrajaya pada 6 Januari nanti bagi memberi sokongan moral kepada Datuk Seri Najib Razak,” katanya lagi.

Tambah Ketua UMNO Bahagian Machang lagi, UMNO tidak menghalang untuk sesiapa pun rakyat Malaysia hadir memberi sokongan bersama-sama. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit