Teruskan Kejayaan… Kombinasi Pelbagai Pihak Jana Kejayaan Pelajar  

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap anak-anak di luar bandar termasuklah di kawasan Felda meningkatkan kejayaan masing-masing dalam bidang akademik serta kokurikulum.

Beliau yang hadir meraikan murid-murid cemerlang dalam akademik serta kokurikulum di Felda Palong pagi tadi berkata guru-guru yang ada di sekolah luar bandar cukup berkualiti serta mampu menjana kejayaan para pelajar.

“Tadi saya hadir ke Sekolah Kebangsaan Felda Palong 7 untuk meraikan murid-murid yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum sepanjang tahun ini. Sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap kawasan Felda, saya amat teruja untuk hadir melihat wajah-wajah anak generasi Felda yang cemerlang sejak di bangku sekolah.

“Saya sebut tadi, jangan cakap bahawa anak kita yang di luar bandar ini takkan berjaya! Sebab guru yang ada di sekolah di luar bandar ini cukup berkualiti dan mampu membentuk kecemerlangan anak-anak kita. PIBG pula harus sentiasa ‘engaged’ dengan pentadbir sekolah dan guru-guru,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau seterusnya berharap kejayaan yang diperoleh pada hari ini diteruskan dengan sebaiknya dan kombinasi serta gabungan pelbagai pihak memainkan peranan yang amat penting untuk sama-sama menjana kejayaan para pelajar.

“Sepertimana yang saya katakan tadi… guru-guru dan pelbagai pihak yang terlibat dalam aspek pendidikan di luar bandar ini cukup hebat dan apa yang penting kerjasama semua pihak dalam membentuk kecemerlangan anak-anak kita,” tambahnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit