Pertahankan Keharmonian Dan Kedaulatan Negeri Sabah – Pemuda UMNO Sabah
KOTA KINABALU, 31 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Sabah merujuk kepada satu hantaran media sosial yang dimuat naik oleh aktivis pereka grafik Fahmi Reza yang bersifat provokatif dan tidak menghormati negeri Sabah serta rakyatnya.
Tegas Ketua Penerangannya, Mohamad Mahat Jumahat, tindakan ini jelas melangkaui batas kesopanan dan menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab.
“Sebagai rakyat Malaysia yang menghormati prinsip Rukun Negara, termasuk kesetiaan kepada Raja dan Negara, Fahmi Reza sepatutnya lebih peka terhadap sensitiviti budaya dan institusi negeri.
“Hantaran beliau bukan sahaja tidak menghormati titah dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, tetapi juga mencemarkan keharmonian masyarakat di Sabah.
“Institusi Yang di-Pertua Negeri adalah simbol kedaulatan dan kebanggaan negeri Sabah yang perlu dipertahankan. Menghina atau memperlekehkan institusi ini bukan sahaja mencabar integriti negeri, tetapi juga boleh menjejaskan perpaduan antara rakyat yang telah lama hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Mohamad Mahat yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Penampang, tindakan Fahmi Reza ini berpotensi mencetuskan ketidakstabilan dengan menanam perasaan marah dan benci dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
“Sikap sebegini boleh menghasut minda masyarakat untuk membuat persepsi negatif, sekali gus mengganggu ketenteraman dan kesejahteraan negeri ini.
“Kami menyeru agar semua pihak, khususnya generasi muda, tidak terpengaruh dengan provokasi seperti ini.
“Pergerakan Pemuda UMNO Sabah juga menuntut agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana individu yang cuba merosakkan perpaduan dan keharmonian rakyat Sabah melalui penyebaran kandungan yang tidak bertanggungjawab di media sosial,” tegasnya lagi.
Justeru, Mohamad Mahat menyeru semua pihak bersama mempertahankan keharmonian dan kedaulatan negeri Sabah dan berharap agar nilai-nilai saling menghormati dan perpaduan terus menjadi asas kepada kekuatan negeri ini. – UMNO ONLINE