Melangkah Ke 2025… UMNO/BN Berusaha Penuhi Ekspektasi Rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin beranggapan bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu berusaha untuk memenuhi ekspektasi rakyat bagi memperoleh semula sokongan mereka.

Ini kerana katanya, segala kehendak dan ekspektasi rakyat tersebut boleh dipenuhi dengan melaksanakan pelbagai inisiatif menjengah masuk ke tahun 2025.

“Saya ingat sama macam tahun-tahun sebelum ini, cuma bezanya dalam kita melangkah ke tahun 2025 ini, sudah pastilah kita perlu memenuhi kehendak dan juga keperluan masyarakat serta rakyat, khususnya di kalangan ahli-ahli UMNO

“Ini adalah untuk melihat peranan yang lebih signifikan dan juga inisiatif-inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan menjengah masuk tahun 2025,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar turut berpendapat bahawa 2025 akan menjadi tahun yang mencabar untuk parti-parti politik kerana terdapat beberapa siri pilihan raya bakal diadakan.

“2025 akan menjadi tahun yang mencabar untuk parti-parti politik. Kita akan menyaksikan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun tersebut. Ia akan juga menguji berkenaan dengan kerjasama politik BN, Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti di Negeri Sabah.

“PRN Sabah akan menjadi permulaan untuk berhadapan dengan PRN-PRN lain yang akan berlaku pada tahun-tahun berikutnya. PRN Melaka, Johor dan kemuncaknya adalah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 yang dijangkakan berlaku pada tahun 2027 atau 2028,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berpendapat bahawa UMNO/BN dan Kerajaan Perpaduan perlu menyelesaikan beberapa perkara yang mustahak dan ia perlu dibincangkan secara terbuka.

“Jadi, ini adalah satu tahun yang mencabar kepada UMNO/BN termasuklah Kerajaan Perpaduan kerana terdapat beberapa perkara penting dan juga mustahak yang perlu diutamakan.

“Mungkin ada beberapa isu politik lain yang mungkin perlu ada justifikasi ataupun pengakhirannya. Antaranya, isu berkenaan dengan pengampunan Datuk Seri Najib Razak dan juga lain-lain perkara yang sedang berlegar serta dibahaskan secara terbuka,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit