PERDASAMA Berperanan Penting Memperkukuh Usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Menteri Perladangan dan Komuniti Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata selama 25 tahun Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) telah memainkan penting dalam memperkukuh usahawan Bumiputera di negara ini.

Ujar Naib Presiden UMNO itu, ia terutama dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta memperjuangkan perniagaan secara inklusif.

“Saya menyeru usahawan Bumiputera untuk terus berdaya saing dengan permodenan melalui digitalisasi dan automasi.

“Sambil menghasilkan ekosistem perniagaan yang mantap dengan fokus kepada pengurusan rantaian bekalan, kewangan, dan tenaga kerja,” kata Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa dalam satu hantaran di laman Facebook.

Baru-baru ini Johari merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 PERDASAMA di Hotel Tamu & Residence, Kampung Baru, di sini.

Seterusnya, Johari berharap semoga PERDASAMA terus menjadi pemangkin kepada kejayaan usahawan Bumiputera di peringkat nasional dan global. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit