Melaka Berselawat: Contohi Keperibadian Rasulullah SAW, Perkukuhkan Ukhuwah – Ab Rauf
KUALA LUMPUR, 30 Dis – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bersyukur beliau bersama isteri Datin Seri Zuriyah Ab Aziz, malam tadi dapat menyertai ribuan tetamu hebat pada Majlis Berselawat Sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 bertempat di Persiaran Jalan Merdeka, Banda Hilir, Melaka.
Ujar Ab Rauf dalam satu perkongsian di Facebook, beliau dimaklumkan kira-kira 50,000 tetamu memeriahkan majlis selawat dan qasidah yang diketuai oleh Habib Ali Zainal Abidin Assegaf; selain menampilkan Ustaz Zul Ramli.
“Penganjuran majlis seumpama ini tentunya sebagai satu wadah terbaik untuk kita sama-sama memperingati pengorbanan Baginda Rasulullah SAW dalam membuka lembaran baharu penyebaran agama Islam sepertimana yang berlaku suatu ketika dahulu.
“Menjelang kehadiran tahun baharu 2025 ini, saya ingin mengajak semua rakyat Melaka sama-sama berazam mencontohi keperibadian Nabi Muhammad SAW di samping memperkukuh ukhwah sesama masyarakat bukan sekadar dalam kehidupan duniawi bahkan juga ukhrawi,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka itu lagi.
Tambah Ab Rauf, majlis tambah berseri dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah Abdul Rahman.
Hadir sama bekas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan barisan kepimpinan negeri Melaka.
Seterusnya, Ab Rauf berharap semoga negeri Melaka akan mendapat lebih kemakmuran, kebahagiaan dan kedamaian pada tahun hadapan.
Manakala dalam platform yang sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim Datuk Rais Yasin juga bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Melaka di bawah Kepimpinan Ketua Menteri atas kejayaan menganjurkan majlis gilang gemilang bersempena tahun baharu 2025.
“Semoga usaha murni sebagini dapat meramaikan lagi para pecinta Rasulullah SAW khususnya di Melaka yang sentiasa memuliakan Rasulullah SAW serta menjadikan Baginda sebagai ikutan sepanjang zaman. Allahumma Amiin,” ujar Rais yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang berada dalam majlis yang sama turut melahirkan rasa penuh kesyukuran atas penganjuran majlis tersebut.
“Dengan tahun 2024 bakal meninggalkan kita beberapa hari sahaja lagi, semoga bumi Melaka terus makmur, aman dan sejahtera di bawah lindungan-Nya sepanjang tahun baharu 2025 dengan berkat majlis yang kita adakan malam tadi,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas itu. – UMNO ONLINE