Bersepadu Depani Tahun Baharu 2025, UMNO Terus Kukuh Bawa Perjuangan Keramat

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Mendepani tahun baharu 2025 yang berbaki beberapa hari lagi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jailani Johari mengajak akar umbi parti untuk terus bersepadu bersama dengan kepemimpinan tertinggi dalam membawa perjuangan parti keramat ini.

Beliau berkata ini kerana keutuhan dalam kalangan pendukung parti sangat penting dalam mendepani dinamika politik yang serba mencabar.

“Kita harus bersama kepimpinan yang ada kerana kepimpinan sedia ada ini telah membuktikan bahawa apa yang kita kata dikotakan.

“Tinggalkanlah masalah dalaman yang berlaku kerana yang penting kita harus bersatu bagi menjayakan usaha kita memenangi hati rakyat melalui politik khidmat bakti yang dilakukan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Jailani yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata kesepaduan dalam kalangan pendukung parti amat penting untuk mengharungi pilihan raya akan datang.

“Perlu ingat selepas ini akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah selepas itu Melaka, Johor dan mungkin Sarawak serta paling besar Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Jadi kalau kita sama-sama ahli parti tidak bersatu hati, saya rasa ini satu perkara yang amat sukar untuk kita memenangi PRN, Pilihan Raya Kecil (PRK) atau PRU yang akan datang.

“Itu yang penting sama-sama ahli satu hati bersama dengan Presiden untuk menjayakan hasrat kita memenangi pada PRU-16 yang insya-Allah akan datang,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit