Bakul Kasih Johor Inisiatif Kerajaan Negeri Pastikan Kesejahteraan Rakyat Terpelihara

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja Nor Rashidah Haji Ramli berkata inisiatif Bakul Kasih Johor jelas membuktikan usaha berterusan dan komitmen kerajaan negeri memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Ujar Nor Rashidah dalam satu perkongsian di Facebook, penyerahan Bakul Kasih Johor bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja terus dilaksanakan secara berperingkat dari masa ke semasa.

“Dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak, kami akan terus berusaha untuk membantu golongan yang memerlukan di kawasan DUN Parit Raja.

“Terima kasih kepada sukarelawan UMNO Bahagian Sri Gading Cawangan Wanita Pemuda dan Puteri di Zon Parit Raja, Zon Parit Botak, Zon Universiti dan Zon Sri Gading yang menggembleng tenaga membantu menjayakan penyampaian agihan ini,” katanya.

Nor Rashidah turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, atas keprihatinan terhadap rakyat Johor.

Melalui inisiatif ini, sebanyak 5,000 set bakul makanan telah diperuntukkan kepada setiap ADUN di negeri Johor untuk diagihkan kepada keluarga yang memerlukan secara berperingkat bermula bulan ini.

Semoga dengan usaha berterusan ini dapat memberikan manfaat kepada keluarga dan komuniti setempat, tambah Nor Rashidah yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Sri Gading.

Dilaporkan sebelum ini, Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM16.8 juta bagi Program Bantuan Kasih Johor.

Ia memberi manfaat kepada 280,000 keluarga miskin dan kurang kemampuan dalam kalangan B40 di seluruh negeri ini.

Onn Hafiz berharap semoga inisiatif baik itu mampu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat Johor serta menoktahkan miskin tegar. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit