Amaran Hujan Berterusan: Ahmad Zahid Seru Rakyat Utamakan Keselamatan
KUALA LUMPUR, 30 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat untuk mengutamakan keselamatan lantaran amaran hujan berterusan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) pada Ahad.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan bahawa terdapat peningkatan kawasan yang dilanda banjir di beberapa buah daerah.
“Laporan terkini kejadian bencana banjir yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sehingga jam 8.00 malam tadi merekodkan terdapat peningkatan kawasan dilanda banjir beberapa daerah di Negeri Kelantan dan Terengganu dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 410 orang melibatkan 150 buah keluarga.
“Beberapa kawasan di Negeri Kelantan iaitu Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai manakala di Negeri Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman kini berada pada tahap amaran bahaya akibat hujan berterusan di kawasan-kawasan tersebut.
“Justeru, saya menggesa semua mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Penduduk yang berada di kawasan berisiko pula diminta mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa serta harta benda,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat dan amaran semasa mengenai situasi banjir di laman web dan media sosial rasmi Public Info Banjir.
“Kepada orang ramai yang sedang bercuti akhir tahun dan mempunyai perancangan ke kawasan-kawasan berisiko banjir, anda dinasihatkan untuk membuat pertimbangan sewajarnya untuk memastikan keselamatan serta mematuhi semua langkah-langkah ditetapkan pihak berkuasa agar tiada perkara-perkara tidak diingini berlaku.
“Saya juga ingin memberikan penghargaan kepada semua petugas pengurusan bencana yang sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan. Komitmen anda sebagai barisan hadapan dalam menguruskan bencana ini amatlah dihargai.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat dan amaran semasa situasi banjir melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir. Untuk maklumat cuaca pula, orang ramai boleh muat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih dari MET Malaysia. Dapatkan juga maklumat di portalbencana.nadma.gov.my,” katanya lagi.
Pada Ahad media melaporkan bilangan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu meningkat kepada 1,261 orang setakat pukul 11.24 malam.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 747 orang daripada 224 keluarga.
Sebanyak 18 PPS dibuka di Kawasan terjejas iaitu di Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang.
Jumlah mangsa banjir di Terengganu pula seramai 514 orang daripada 142 keluarga dan sebanyak 16 PPS dibuka di Hulu Terengganu serta Besut. – UMNO Online