Kerajaan Johor Teguh Bersama Palestin, Salur Bantuan Kemanusiaan – Fared

JOHOR BAHRU, 29 Dis – Sebanyak RM2 juta disumbangkan kerajaan Johor kepada rakyat Palestin menerusi Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin.

Exco Hal Ehwal Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, persediaan misi kemanusian berkenaan disusun dengan begitu rapi bagi memastikan sumbangan dapat diterima rakyat Palestin.

Beliau berkata, pembungkusan dan persiapan akhir penghantaran bantuan terbabit sedang disiapkan di Easy Log Air Cargo, Alqastal-Almushatta, Amman, Jordan.

“Sebanyak 10 treler berisi bantuan berkenaan dijangka melintasi sempadan Jordan awal bulan depan atau selewatnya penghujung Januari bagi diagihkan kepada rakyat Palestin.

“Saya teliti dan semak sendiri pembungkusan dan persiapan akhir penghantaran bantuan kepada rakyat Palestin itu di sebuah gudang kargo di Amman, Jordan.

“Pecahan sumbangan bantuan RM2 juta ini membabitkan RM427,500 barangan bagi makanan panas selama 14 hari untuk manfaat 35,000 rakyat Palestin; 9,000 kotak barangan keperluan kesihatan, wanita dan kanak-kanak (RM753,300); 4,000 pek makanan bagi 20,000 rakyat Palestin (RM700,000) dan 80 khemah ‘Kampung Johor’ (RM119,200),” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, kerajaan Johor berterima kasih kepada rakyat negeri itu selain semua pihak yang menitipkan sumbangan kewangan, idea dan tenaga.

Pada Julai lalu, Johor meneruskan inisiatif membantu rakyat Palestin dengan melancarkan kutipan sumbangan menerusi Tabung Kasih Johor-Palestin 2.0.

Tabung berkenaan akan digerakkan ke hampir 3,000 surau dan masjid di seluruh negeri ini yang telah diarahkan untuk membuat kutipan khas pada setiap Jumaat. – SH

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit