Wanita UMNO Terima Sumbangan Toto, Bantal Untuk Diagih Kepada Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Wanita UMNO Malaysia hari ini menerima sumbangan beberapa keperluan asas rumah untuk diberikan kepada mangsa banjir di seluruh negara.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi perkongsian di Facebook berkata beliau berbesar hati menerima sumbangan hasil daripada inisiatif exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Waheedah Fairuz yang memberikan 500 helai toto dan bantal.

“Hari ini kami di Wanita UMNO Malaysia menerima lagi sumbangan dan barangan bagi pasca banjir untuk disampaikan kepada mereka-mereka yang terkesan.

“Terima kasih diucapkan kepada Datuk Waheedah Fairuz (Exco Wanita UMNO Malaysia) di atas sumbangan 500 helai toto dan bantal,” katanya menerusi hantaran yang sama.

Toto dan bantal tersebut diserahkan kepada ibu pejabat Wanita UMNO sebelum diagihkan ke beberapa negeri yang terjejas banjir.

Terdahulu, Wanita UMNO ke beberapa lokasi yang terjejas banjir antaranya Tampin, Rasah, Jerai, termasuk di Kelantan iaitu Kubang Kerian, Tanah Merah, Pasir Mas, Pengkalan Chepa, Rantau Panjang bagi meringankan beban mangsa banjir melalui pemberian bantuan keperluan asas.

Sementara itu Tabung Kilat Bantuan Mangsa Banjir melalui Kelab Skuad Sayang 3K turut sama dilancarkan pada penghujung November lalu, untuk diagihkan sumbangan kepada mangsa terlibat.

Sumbangan boleh dilakukan akaun rasmi ‘Tabung Kilat Bantuan Mangsa Banjir Skuad Sayang’ di: Nombor Akaun: CIMB 8604795425 WANITA UMNO MALAYSIA, dengan meletakkan rujukan #banjir2024. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit