Program Turun Padang Mingguan UMNO Lahad Datu Platform Eratkan Hubungan Bersama Masyarakat
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Program lawatan turun padang setiap minggu merupakan platform untuk mengeratkan hubungan antara UMNO dengan masyarakat akar umbi, kata Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu Sharif Musa Sharif Mabul.
Di samping itu ujarya, ia juga sebagai satu penghargaan terhadap pengorbanan Ketua-ketua UMNO Cawangan dan sokongan yang diberikan oleh mereka selama ini.
“Tanggungjawab dan keprihatian UMNO dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan masyarakat bukan bermusim, tetapi dari awal sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan lagi.
“Insya-Allah UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus memperkukuhkan hubungan parti dengan masyarakyat,” katanya dalam satu catatan di Facebook.
Sharif Musa bersyukur dapat meneruskan lawatan ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam bersama ahli jawatankuasanya, memberi sumbangan bantuan kewangan kepada semua Ketua UMNO Cawangan dan bakul makanan kepada penduduk, baru-baru ini.
Antara PDM yang terlibat adalah seperti PDM Silam, PDM Sepagaya, PDM Lapangan Terbang dan PDM Fajar.
Dalam pertemuan tersebut, turut diadakan taklimat kepada Ketua-ketua UMNO Cawangan cara pengunaan sistem MyUMNO.
Mengulas lanjut, Sharif Musa juga bersyukur kerana setiap ahli UMNO, dari peringkat akar umbi hingga ke pimpinan tertinggi di bawah pimpinan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memainkan peranan penting dalam memastikan perjuangan parti ini tidak hanya dilihat sebagai perjuangan politik, tetapi juga sebagai meneruskan perjuangan orang-orang yang terdahulu untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.
Terdahulu, rombongan UMNO Bahagian Lahad Datu turut berkunjung ke PDM-PDM yang terletak di pulau antaranya seperti di PDM Sakar, PDM Bandar dan PDM Panji. – UMNO ONLINE