UMNO Teguh Wujudkan Kestabilan Politik Dan Pertumbuhan Ekonomi Negara – Atiqah
KUALA LUMPUR, 12 Dis – UMNO terus memainkan peranan penting dalam merangka serta melaksanakan dasar Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara.
Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Wangsa Maju, Nur Atiqah Khir Johari berkata sebagai parti yang mempunyai pengaruh besar dalam kerajaan, UMNO berusaha mewujudkan suasana yang lebih kondusif untuk kesejahteraan rakyat.
“UMNO dilihat gigih memastikan kestabilan politik yang amat diperlukan dalam konteks pasca Pilihan Raya Umum (PRU) selepas sesi penuh ketidakpastian. Usaha ini penting untuk mengelakkan krisis politik yang berpanjangan sekaligus membolehkan tumpuan diberikan kepada pembangunan negara.
“Langkah-langkah ini penting untuk meletakkan Malaysia dilandasan kukuh dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang tidak menentu dan cabaran dalam negeri.
“Pemimpin-pemimpin UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan berusaha untuk memastikan ekonomi negara terus berkembang bertujuan untuk menarik pelaburan asing, memperbaiki sektor perniagaan dan memacu pembangunan sektor-sektor utama seperti industri, teknologi dan infrastruktur,” katanya.
Tambah Atiqah, dalam usaha menstabilkan ekonomi, pemimpin UMNO turut memberi tumpuan kepada penciptaan peluang pekerjaan.
“UMNO turut memperkenalkan dasar latihan kemahiran iaitu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Memperluaskan sektor-sektor yang boleh menyediakan pekerjaan serta memajukan ekonomi digital dan hijau yang berpotensi membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak, terutamanya golongan muda,” katanya.
Pada masa yang sama ujarnya, pemimpin UMNO berperanan sebagai pembuat dasar bagi memastikan kerajaan sentiasa berpihak kepada kepentingan rakyat di samping menjaga kepentingan parti dan penyokongnya.
“Perlu ada keseimbangan antara kepentingan parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan tuntutan dan harapan rakyat yang lebih luas. Ini mencabar kerana ia memerlukan sokongan bukan sahaja daripada kalangan ahli parti tetapi juga dari pihak dalam gabungan yang lain.
“Secara keseluruhannya, kepemimpinan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan memberikan ruang lebih inklusif dan menyeluruh bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara,” jelas beliau. – UMNO Online