UMNO Beaufort Teruskan Khidmat kepada Rakyat, Tolak Politik Kebencian Dan Hasutan

KUALA PENYU, 12 Dis – UMNO Bahagian Beaufort terus komited menjalankan khidmat bakti dengan menyantuni masyarakat setempat, sekali gus membuktikan bahawa perjuangan UMNO tidak pernah terhenti walau berdepan pelbagai cabaran.

Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat, menegaskan kepentingan bagi parti adalah mengabaikan politik hasutan dan kebencian, sebaliknya menumpukan sepenuhnya kepada khidmat bakti yang menjadi teras perjuangan UMNO sejak sekian lama malah berpegang pada prinsip ‘dari rakyat kepada rakyat.

“UMNO bukan hanya parti politik, tetapi sebuah gerakan yang sentiasa mendahulukan kebajikan dan kepentingan rakyat. Kita harus teruskan khidmat bakti yang menjadi tradisi UMNO sejak dahulu, menyantuni rakyat dan membantu mereka ketika memerlukan adalah asas perjuangan yang tidak boleh diketepikan,” katanya.

Terdahulu, UMNO Beaufort melalui Biro Kebajikannya telah menyampaikan sumbangan prihatin kepada dua penduduk setempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kerukan melibatkan Marlinah Karim dan Nurul Fatiha Ramin, yang bakal melangsungkan perkahwinan masing-masing tidak lama lagi.

Sumbangan ini disampaikan oleh Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian, Norjana Saban, dan Ketua Wanita PDM Kerukan, Musalmah Samli serta ahli jawatankuasa parti yang mewakili Awang Aslee, pada Ahad.

Menurut Datuk Awang Aslee, usaha ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial UMNO yang sudah sebati dengan perjuangan parti.

Ujarnya, UMNO perlu terus berdamping dengan rakyat di semua peringkat selain kekal bersatu hati dan memperkukuhkan perpaduan.

“Walaupun wujud cubaan untuk memecah-belahkan masyarakat dengan politik kebencian, UMNO Beaufort mesti kekal fokus untuk membawa perubahan positif di peringkat akar umbi.

“Khidmat bakti dan kebajikan yang berterusan ini mencerminkan komitmen UMNO dalam membantu rakyat tanpa mengira latar belakang. Kami sentiasa berada di barisan hadapan untuk membantu masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan moral.

“Program seperti ini bukan sahaja meringankan beban kepada rakyat, tetapi juga mengeratkan silaturahim di samping memperteguh perjuangan parti dalam masyarakat.”

Dengan pendekatan menyeluruh sebegini, Awang Aslee yakin apa-apa tohmahan atau hasutan yang dilemparkan pihak lawan kepada UMNO akan terus berlalu kerana rakyat bijak menilai.

“UMNO Beaufort bukan sekadar menjalankan aktiviti kebajikan, tetapi juga memastikan nilai-nilai kemanusiaan dan kepedulian sentiasa subur dalam kalangan ahli dan masyarakat.

“Kami bukan berpolitik sebaliknya program-program seperti ini diharap akan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap UMNO sebagai sebuah parti yang ikhlas berjuang untuk kesejahteraan semua,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit