Pembebasan Ahmad Zahid: Keputusan Amat Bermakna, Bersama Bina Kepercayaan Untuk Perjuangan UMNO

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Mahkamah Rayuan hari ini membuat keputusan untuk melepaskan dan membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, daripada semua tuduhan berkaitan kes Visa Luar Negara (VLN) yang membabitkan Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, menyatakan rasa syukur atas keputusan tersebut malah menganggap ia amat bermakna.

“Keputusan ini amat bermakna, bukan sahaja untuk YAB Presiden, tetapi juga untuk seluruh ahli UMNO dan rakyat yang percaya pada keadilan.

“Penantian selama enam tahun akhirnya terjawab dengan kebenaran yang terserlah. Keputusan ini adalah bukti jelas bahawa fitnah dan pendakwaan berunsur politik tidak mampu bertahan di hadapan keadilan yang tulen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berkaitan hal tersebut, Mohd Zaidy mengakui sejak awal telah menyaksikan bagaimana kes ini dimainkan dengan niat tertentu untuk merosakkan reputasi Presiden UMNO dan beberapa pemimpin lain.

“Namun, Allah maha adil, dan hari ini kebenaran telah mengatasi segala fitnah. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam pembelaan yang diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik atas usaha mereka yang cemerlang dalam membuktikan keadilan.

“Semoga keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk menghormati prinsip undang-undang dan menjauhi permainan politik dendam.

“Akhir kata, marilah kita semua bersatu dalam membina semula kepercayaan rakyat terhadap perjuangan UMNO dan memastikan kesejahteraan negara terus dipelihara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit