Jeffery Nor Gesa JPKK-P Tingkatkan Usaha, Beri Impak Besar Dalam Pembangunan Sabah
PUTATAN, 12 Dis – Pengarah Jentera Pilihan Raya Sabah, Jeffery Nor Mohamed, yang juga Pengerusi FELCRA Balingian Sdn Bhd, menggesa semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKK-P) yang telah dilantik agar terus bekerja dengan komitmen tinggi serta memberi impak yang signifikan terhadap pembangunan komuniti luar bandar.
Menurut beliau, ini adalah masa yang tepat untuk mengenal pasti dan melaksanakan inisiatif yang dapat membantu memperkasakan kampung-kampung di seluruh negeri.
“JPKK-P yang telah dilantik perlu untuk terus bekerja dan memberikan impak yang besar kerana inilah waktu yang sesuai melihat apa yang boleh kita bantu dikampung-kampung tersebut.
“Setiap Jawatankuasa mestilah menjadi kreatif dalam melaksanakan tugas agar matlamat dan aspirasi Kerajaan Madani dapat dicapai sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Terdahulu, beliau telah memberikan taklimat sempena pelantikan fasa pertama pengerusi dan setiausaha JPKK (P) dalam program bersama KEMAS Daerah Putatan,
Jeffery Nor menekankan pentingnya menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan tanpa pilih kasih tetapi melaksanakan secara penuh amanah.
Beliau juga berharap pelantikan ini akan membawa nilai tambah kepada pembangunan sosial di kampung-kampung.
Katanya, pelantikan ini mencerminkan wajah sebenar Kerajaan Perpaduan, dengan anggota yang terdiri daripada masyarakat pelbagai lapisan yang menyokong aspirasi nasional.
“Melalui usaha ini, JPKK (P) diharapkan menjadi pemangkin kepada kemajuan komuniti serta simbol perpaduan di peringkat akar umbi.
“Semoga semua JPKK (P) yang dilantik dapat menjalankan tugas dengan amanah dan penuh integriti untuk memastikan pembangunan yang inklusif dan menyeluruh,” ujar Jeffery Nor lagi. – UMNO Online