Inisiatif Rumah Kasih Johor Diperluas: Lebih Ramai Golongan Miskin Miliki Kediaman – Mohd Jafni

KULAI, 12 Dis — Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor selesai menyempurnakan penyerahan surat tawaran Rumah Kasih Johor (RKJ) Tahun 2024 kepada Pegawai Daerah dan wakilnya di Kota Iskandar dengan inisiatif menyediakan kediaman percuma bagi golongan miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam pangkalan data E-Kasih di seluruh negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan bahawa RKJ adalah usaha kerajaan untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

“Kos keseluruhan pembinaan rumah ini ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Johor,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Jelas beliau, pada tahun pertama pelaksanaan inisiatif ini (2023), Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) melalui kontraktor utama, KPRJ E&C, berjaya membina 50 unit rumah di 10 daerah di mana setiap daerah diperuntukkan lima unit RKJ.

“Penyerahan kunci kepada penerima telah dijalankan pada bulan Ramadan yang lalu menerusi Program Jelajah Kasih Ramadan PKPJ, dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Seramai 50 keluarga miskin tegar menerima manfaat ini pada tahun tersebut.”

Terang Mohd Jafni, bagi tahun 2024, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah meluluskan peningkatan peruntukan RKJ kepada 120 unit dengan setiap ADUN diberi tanggungjawab untuk mencadangkan dua nama calon yang layak dari kawasan mereka, dengan syarat mereka berdaftar dalam sistem E-Kasih.

Ujarnya, pelaksanaan tahun ini turut menyaksikan beberapa penambahbaikan:

1. Kelonggaran Syarat Pemilikan Tanah: Pemohon boleh menggunakan tanah milik ibu, bapa, atau keluarga terdekat dengan kebenaran bertulis pemilik tanah sebagai tapak pembinaan RKJ.
2. Reka Bentuk Rumah Pelbagai Jenis: Pembinaan rumah akan disesuaikan mengikut keperluan isi rumah pemohon, dengan pilihan jenis rumah 3 bilik, 2 bilik, dan 1 bilik.
3. Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan: Ditubuhkan untuk memastikan proses pemilihan peserta dan pelaksanaan projek berjalan dengan telus dan adil.

Katanya, setelah melalui dua sesi mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan RKJ pada 8 Ogos 2024 dan 8 September 2024, seramai 71 calon dari 10 daerah telah diperakukan untuk menerima rumah percuma ini.

Mohd Jafni turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk ADUN, pentadbiran daerah, PKPJ, dan KPRJ, yang telah bekerjasama memastikan hanya calon yang benar-benar layak dipilih untuk menerima manfaat Rumah Kasih Johor.

“Alhamdulillah, inisiatif ini mampu membantu lebih ramai keluarga miskin dan miskin tegar memiliki rumah sendiri, sekaligus meningkatkan kesejahteraan hidup mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit