Bung Moktar Seru Ahli UMNO Terus Berjuang, Program Gerak17 Terus Dilaksana

KOTA KINABALU, 12 Dis – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyeru semua ahli dan penyokong parti untuk terus berjuang menghadapi cabaran mendatang tanpa menghiraukan kata-kata negatif.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan UMNO sentiasa berpaksikan denyut nadi rakyat, terutama dalam usaha membangunkan Sabah.

“Terus melangkah ke hadapan, jangan dengar kata-kata nista dari debu-debu di jalanan. Kita dengar nadi dan detik jantung rakyat.

“Lautan bergelora pun telah kita tempuhi, inikan pula Sungai Kinabatangan, tempat lahir sendiri,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau berkata demikian dalam makluman berkaitan program Gerak17 yang diteruskan dengan akan datang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau pada 21 Dis manakala di DUN Lamaq pada hari berikutnya, 22 Dis.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamaq juga menekankan bahawa perjuangan tidak akan terhenti walau berdepan rintangan.

“Sekali berjuang, terus berjuang. Apa pun rintangan pasti dihadapi, undur bukan pilihan di hati!” tegas beliau.

Program Gerak17 ialah satu inisiatif UMNO Sabah untuk mendekati pengundi akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Program ini bertujuan untuk memperkukuh sokongan dan memastikan suara rakyat Sabah terus diwakili dengan baik. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit