Skandal Sabah Mineral Management: Terus Tegas Tuntut Keadilan, Tolak Penafian Buta – Mahat Jumahat
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Mohammad Mahat Jumahat memandang serius kenyataan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilihat cuba mempertahankan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Nor tanpa asas kukuh, sambil mengetepikan fakta dan persoalan besar yang berbangkit daripada skandal Sabah Mineral Management Sdn Bhd.
Menurut beliau, isu skandal rasuah Sabah Mineral yang sedang hangat diperkatakan bukan sekadar dakwaan biasa kerana ia melibatkan kepimpinan kanan kerajaan Negeri Sabah serta melibatkan amanah yang telah dikhianati serta kepercayaan rakyat yang dipijak oleh pihak yang sepatutnya memikul tanggungjawab.
“Pergerakan Pemuda UMNO Sabah mendesak agar siasatan terhadap skandal ini dijalankan secara menyeluruh dan bebas di bawah peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694). Semua pihak, termasuk Ketua Menteri dan mana-mana individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, mesti memberikan kerjasama penuh tanpa mencampuri urusan siasatan.
“Kami juga menuntut agar pihak berkuasa memastikan tiada cubaan untuk menutup bukti atau melengah-lengahkan proses keadilan, seperti yang didakwa berlaku dengan naratif tidak masuk akal yang menyalahkan teknologi kecerdasan buatan (AI). Ini adalah penghinaan terhadap intelek rakyat Sabah dan tidak boleh diterima.
“Sebagai pemimpin tertinggi negeri, Ketua Menteri Sabah perlu mengambil tanggungjawab moral terhadap isu ini. Jika wujud bukti kukuh atau asas siasatan maka berehat sementara waktu bagi memastikan siasatan bebas dan telus dapat dijalankan tanpa sebarang halangan atau pengaruh,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan isu terbabit.
Dalam hal ini Mohammad Mahat turut menggesa untuk memberikan penjelasan terbuka kepada rakyat Sabah mengenai langkah yang diambil untuk menyelesaikan isu ini dan memastikan ketelusan dalam urus tadbir negeri.
Katanya, sebarang tindakan untuk mempertahankan diri tanpa asas fakta hanya akan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negeri.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Penampang seterusnya mengecam sebarang kenyataan yang dilihat cuba mengelirukan rakyat atau melindungi pemimpin terlibat tanpa fakta jelas.
Tambahnya, kenyataan Ketua Pemuda GRS yang mempertahankan Ketua Menteri tanpa mengendahkan isu pokok adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang hanya memburukkan lagi situasi.
“Kami menyeru agar semua pihak berhenti memperbodohkan rakyat dengan alasan yang tidak masuk akal, termasuk menyalahkan teknologi seperti AI, lupa ingatan dan sebaliknya memberi tumpuan kepada menyelesaikan masalah sebenar.
“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menegaskan bahawa semua rakyat, termasuk pemimpin, adalah sama di sisi undang-undang. Oleh itu, mana-mana individu yang didapati bersalah mesti dihukum setimpal tanpa pilih kasih, mengikut peruntukan undang-undang seperti Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya lagi.
Tambah beliau, Pemuda UMNO Sabah tetap berpegang teguh kepada prinsip integriti dan menolak sebarang bentuk rasuah serta salah guna kuasa.
“Kepimpinan yang bersih adalah asas kepada kemajuan negeri dan negara serta rakyat Sabah berhak menikmati pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.
“Rakyat Sabah sedang memerhatikan dengan teliti tindak balas kepimpinan negeri terhadap skandal ini. Kami menyeru Ketua Menteri dan pemimpin GRS untuk menghentikan percubaan mengalihkan perhatian, sebaliknya memberi fokus kepada memperbaiki keadaan dan memulihkan kepercayaan rakyat.
“Pemuda UMNO Sabah akan terus menjadi suara rakyat dalam menuntut keadilan dan memastikan integriti kepimpinan negeri dikekalkan. Rakyat Sabah tidak lagi akan bertolak ansur dengan kepimpinan yang mengutamakan kepentingan peribadi berbanding amanah yang diberikan,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM Sabah sudah memulakan siasatan membabitkan dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral membabitkan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan ADUN.
SPRM dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.
Siasatan awal berhubung aduan itu membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah dengan ahli perniagaan terbabit. – UMNO Online