Dua Tahun Kerajaan Perpaduan: Pelbagai Inisiatif Reformasi Institusi Direncana Dan Dilaksana – Azalina
KUALA LUMPUR, 4 Dis – Pelbagai inisiatif reformasi institusi dan perundangan telah direncana serta dilaksanakan selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa sudah genap dua tahun beliau mengangkat sumpah sebagai menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“3 Disember 2024, genap dua tahun saya mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri di hadapan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.
“Alhamdulillah, dalam tempoh dua tahun tersebut pelbagai inisiatif reformasi institusi dan perundangan telah direncana sertA dilaksanakan selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan hak rakyat Malaysia secara amnya sentiasa terpelihara,” katanya.
Menurutnya, perkara tersebut menjadi bukti kepada komitmen Kerajaan Madani untuk terus memperbaiki sistem pentadbiran negara dengan tadbir urus dan tatakelola yang cemerlang.
“Ini merupakan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Madani dalam melaksanakan perubahan dan reformasi yang telah dijanjikan untuk terus memperbaiki sistem pentadbiran ke arah sebuah negara dengan tadbir urus dan tatakelola yang cemerlang.
“Namun demikian, masih terdapat banyak lagi usaha yang perlu dilakukan dan ruang untuk penambahbaikan.
“Sekali lagi, saya ingin mengulangi penghargaan kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas kepercayaan yang diletakkan kepada saya serta sokongan serta dorongan yang diberi sepanjang 24 bulan ini,” katanya lagi. – UMNO Online