Kerjasama Semua Pihak Mudahkan Usaha Menangani Bencana Banjir – Mohd Zaidy

JEMPOL, 3 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, terus melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang dipikulnya dengan penuh dedikasi, khususnya dalam menangani situasi bencana banjir yang melanda termasuklah dikawasannya.

Beliau telah turun padang untuk meninjau keadaan semasa di beberapa pusat penempatan sementara (PPS) dan kawasan yang terjejas demi memastikan kesejahteraan rakyat terjamin selain berusaha meringankan beban mangsa banjir.

“Gerak kerja ini perlu dilaksana bersama dan dalam menghadapi musibah sedemikian amat penting pentingnya kerjasama antara pihak berkuasa, agensi penyelamat, dan sukarelawan dalam memastikan bantuan sampai dengan cepat dan berkesan.

“Tindakan kita bukan sahaja memberikan bantuan logistik, tetapi juga menunjukkan keprihatinan terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat yang terjejas akibat bencana tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau telah meninjau keadaan di PPS SK Rompin dan meluangkan masa untuk berinteraksi dengan mangsa banjir di samping memastikan keperluan asas, seperti makanan dan kemudahan tempat perlindungan, mencukupi.

Beliau juga melawat dan meninjau keadaan di PPS SJKT Ladang Sialang, Pekan Jelai, Bahau yang mengalami banjir kilat hingga menyebabkan sebahagian daripada penduduknya terpaksa dipindahkan ke PPS.

“Apabila kita turun padang, kita akan dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana kegelisahan mangsa banjir, kita mendengar keluhan mereka dan sedaya mungkin akan cuba membantu.”

Selain itu, Mohd Zaidy turut meninjau beberapa kawasan lain yang terjejas antaranya ialah SJKT Ladang Senama, PPS SK Rompin, PPS SK Felda Palong 1 dan beberapa kawasan lain.

Dalam lawatannya, Mohd Zaidy turut menyedari penutupan beberapa jalan utama akibat banjir, terutamanya di kawasan N17 Bahau-Dangi, Koa Ayer Persom, dan Koa Langkap, Dangi.

“Penutupan jalan-jalan ini tentu memberi kesukaran kepada penduduk untuk bergerak, namun usaha pembaikan infrastruktur dan penyediaan laluan alternatif sentiasa dilaksana maka semua pihak perlu menyemak dahulu sebelum memulakan pergerakan.”

“Dengan adanya sokongan daripada semua pihak, diharapkan bencana yang menimpa ini akan dapat dihadapi dengan tabah dan seterusnya proses pemulihan dapat berjalan lancar dengan mangsa banjir dapat kembali ke kehidupan normal mereka secepat mungkin,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit