Konvensyen BN Selangor: Penyatuan Dan Semangat Setiakawan Kunci Kebangkitan – Megat Zulkarnain
SHAH ALAM, 2 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Megat Omardin, menegaskan pentingnya penyatuan dan semangat setiakawan tinggi dalam kalangan ahli BN bagi mengembalikan kekuatan parti di negeri Selangor.
Dalam ucapan beliau sempena Konvensyen BN Selangor yang berlangsung semalam, beliau mengimbau sejarah BN Selangor pada tahun 2004 apabila berada di puncak dengan BN berjaya memenangi semua kerusi Parlimen Selangor serta 54 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Namun demikian katanya, sokongan pengundi menurun dan akhirnya kini BN hanya memiliki dua kerusi DUN sahaja.
Beliau juga menyentuh keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, apabila BN yang bertanding 12 kerusi hanya berjaya memperoleh dua kerusi, yang dimenangi di DUN Sungai Air Tawar diwakili Datuk Rizam Ismail dan Dusun Tua oleh Datuk Johan Abd Aziz.
“Walaupun kita kalah, perkhidmatan tetap diberikan, dan kita akan terus bekerja keras untuk mengembalikan kekuatan BN malah semangat kerjasama dalam BN tetap utuh,” ujarnya.
Dalam hal ini beliau mengucapkan terima kasih kepada MCA dan MIC kerana tetap setia dalam BN walaupun banyak parti lain meninggalkan gabungan terbabit.
“Perancangan strategi mesra rakyat akan dilakukan, dan kunci utama adalah semangat kesetiakawanan dalam BN yang harus dipertahankan,” katanya, merujuk kepada cabaran besar yang dihadapi oleh parti tersebut.
Megat Zulkarnain turut menyentuh mengenai Kerajaan Perpaduan yang mentadbir pada masa kini, dan menegaskan bahawa ia perlu dipertahankan demi masa hadapan.
“Walaupun ia merupakan perkara baharu yang belum sepenuhnya diterima, ia adalah penting untuk dipertahankan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Titah Baginda yang mahukan kerajaan ini dilaksanakan adalah untuk rakyat dan negara, bukan hanya kekuatan kuasa semata-mata,” tambah beliau.
Terdahulu beliau melahirkan penghargaan kepada khalayak yang hadir dalam konvensyen terbabit.
“Meskipun dalam tempoh yang singkat, konvensyen yang diadakan kali ini berjaya mengumpulkan lebih 2,000 peserta dan kita mendukung resolusi demi masa hadapan lebih baik.”
Konvensyen yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Turut hadir bersama dalam konvensyen ini ialah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi di samping kepimpinan BN termasuk MCA dan MIC serta para pendukung BN.
Tidak ketinggalan bersama-sama dalam Konvensyen BN Selangor ini ialah rakan-rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan termasuklah Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. – UMNO Online
https://umno-online.my/wp-content/uploads/2024/12/DEKLARASI_KONVENSYEN_BN-SELANGOR.pdf