Sama Berdoa Agar Banjir Di Kelantan Tidak Lebih Buruk Berbanding 2014
KUALA LUMPUR, 30 Nov – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru semua berdoa agar banjir di Kelantan tahun ini tidak lebih buruk berbanding 2014, sepuluh tahun dahulu.
Katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi ini, di kawasan Pasir Puteh, Tumpat dan Pasir Mas situasi semakin parah di mana ada yang masih terperangkap dan sedang diselamatkan.
Terdahulu, dalam platform yang sama, Dr Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berpeluang berkunjung ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat pada Jumaat, yang dijadikan sebagai pusat penempatan sementara (PPS) bagi mangsa banjir dari jajahan Tumpat.
“Apa yang amat membanggakan saya adalah usaha murni pelajar-pelajar MRSM yang tampil menjadi sukarelawan. Mereka membantu menyediakan makanan, minuman, memasak serta keperluan lain kepada mangsa banjir.
“Sikap prihatin dan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh pelajar dan seluruh warga MRSM Tumpat amatlah terpuji. Tahniah dan syabas diucapkan kepada mereka yang bertungkus-lumus membantu dalam keadaan mencabar ini,” katanya lagi.
Dilaporkan setakat pagi semalam, seramai 2,115 mangsa banjir telah didaftarkan di PPS MRSM Tumpat.
Semua kemudahan di maktab termasuk dewan, bangunan akademik, surau, dan lain-lain telah digunakan untuk menempatkan mangsa.
Selanjutnya, Dr Asyraf berharap semoga usaha murni ini menjadi amal jariah yang diberkati Allah SWT.
“Warga MRSM Tumpat telah menunjukkan teladan yang baik dalam membantu mereka yang memerlukan dan kami seluruh warga MARA amat berbangga dengan usaha ini.
“Kita doakan semoga keadaan banjir di Pantai Timur khususnya segera pulih dan mereka yang terjejas dapat kembali ke kediaman masing-masing dengan selamat,” ujarnya. – UMNO ONLINE