‘Cukup-cukuplah Idea Luar Kotak, Bawa Budaya Bahaya Kepada Masyarakat’ – Zawawi

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman membidas exco kerajaan negeri yang kononnya merancang usaha bagi mempromosi sukan luncur ombak sebagai produk pelancongan negeri di musim tengkujuh.

Menurut Zawawi ia merupakan idea di luar kotak yang membawa bahaya kerana dikhuatiri menjadi budaya kepada masyarakat untuk bermain sukan luncur ketika di musim banjir.

“Sepatutnya exco kena cari benda lain untuk pelancongan kerana banjir adalah musibah atau bencana yang terpaksa diurus dengan baik dan teratur.

“Pemikiran sedemikian boleh membawa kepada masalah keselamatan dan nyawa apabila ianya menjadi budaya kepada masyarakat yang akan menjadi masalah kepada keluarga dan ibu bapa.

“Cukup-cukuplah idea di luar kotak yang membawa bahaya kepada masyarakat,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, berkata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk Kamarudin Md Noor sepatutnya melaksanakan amanah mengikut portfolionya yang kononnya mahu melaksanakan sukan luncur tersebut untuk mengangkat ekonomi negeri.

Malah kata Zawawi, Kamarudin sepatutnya mengadakan kempen untuk memastikan rakyat di negeri ini tidak pergi ke Thailand pada setiap hujung minggu bagi menikmati tarikan makanan di negeri seberang.

“… untuk ekonomi biarlah exco ekonomi yang rancang.

“Sepatutnya exco pelancongan buatlah kempen supaya orang Kelatan tak pergi ke Thailand cari makanan di sana setiap hujung minggu,” ujar beliau.

Terdahulu, Kamarudin pada sidang pada semalam memaklumkan usaha bagi mempromosi sukan luncur ombak akan diadakan pada pertengahan bulan depan, beliau berkata walaupun kelihatan agak janggal, namun tidak mustahil dilaksanakan memandangkan Kelantan memiliki beberapa tempat yang sesuai untuk sukan berkenaan.

Sehingga pagi tadi mangsa banjir di Kelantan mencatatkan peningkatan apabila seramai 59,214 orang daripada 17,553 keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sekreteriat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan berkata, kesemua mangsa ditempatkan di 221 PPS di 10 buah daerah. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.