Program Pembangunan Bola Sepak Di Negeri Sembilan Terus Diperkasakan – Mustapha Nagoor

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Program Pembangunan Bola Sepak di Negeri Sembilan secara umumnya telah dilaksanakan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Majlis Sukan Negeri serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan.

Exco Pembangunan Belia Dan Sukan Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor berkata satu jawatankuasa telah ditubuhkan melibatkan wakil-wakil dari Negeri Sembilan Football Club, Jabatan Pendidikan Negeri, Majlis Sukan Negeri, Program Pembangunan Bola Sepak Negara (Majlis Sukan Negara Malaysia), Jabatan Belia dan Sukan serta wakil kelab komuniti.

Menurut beliau pemegang-pemegang taruh yang disenaraikan merupakan agensi-agensi yang memiliki program pembangunan suka bola sepak mereka sendiri dan jawatankuasa ini digerakkan bagi membolehkan semua pemegang taruh bergerak atas misi dan visi yang sama, serta mengembelingkan tenaga membangunkan bola sepak Negeri Sembilan.

“Untuk program bawah 10 tahun dan bawah 12 tahun beberapa aktiviti dan keputusan telah diambil. Pertama, NSFC telah menubuhkan pasukan akademi bawah-10 tahun dan bawah-12 tahun bagi memastikan bakat-bakat tempatan mempunyai platform dan laluan bakat yang lebih jelas di bawah NSFC .

“Kedua, NSFC juga akan memperkasa hubungan dengan ada dengan Sekolah Sukan Negeri Sembilan (SMK Za’ba, Kuala Pilah) dengan memperbaharui “Memorandum of Understanding” yang telah dimeterai sebelum ini. Skuad bawah-14 dan bawah-17 tahun daripada SSN Negeri Sembilan akan membentuk skuad NSFC bawah-14 dan bawah-17 tahun.

“Di samping itu, Kejohanan Bola Sepak “Jang Junior Challenge” atau JJC telah diperkenalkan. Program ini merupakan platform kejohanan bagi mencari bakat bawah-12 tahun di seluruh Negeri Sembilan dan dianjurkan di lokasi-lokasi luar bandar. Pada tahun ini juga, NSFC dengan kerjasama PBNS telah menganjurkan Liga KELME Bawah-17 Tahun Negeri Sembilan melibatkan 8 pasukan sekolah dan akademi dari seluruh Negeri Sembilan. Para pemain terbaik yang beraksi di liga ini akan ditawarkan melanjutkan pengajian ke Kolej Yayasan Negeri Sembilan dan membentuk skuad NSFC bawah-18 tahun bagi tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Tambah Mustafa lagi, bagi program bawah 17 tahun pula NSFC dengan kerjasama PBNS telah menganjurkan Liga KELME Bawah-17 Tahun Negeri Sembilan melibatkan lapan pasukan sekolah dan akademi dari seluruh Negeri Sembilan dan pemain terbaik yang beraksi di liga ini akan ditawarkan melanjutkan pengajian ke Kolej Yayasan Negeri Sembilan dan membentuk skuad NSFC bawah-18 tahun bagi tahun 2025.

“Bagi program pembangunan bola sepak negara ianya telah dilaksanakan sejak tahun 2014 bagi peringkat umur 7-17 tahun. Bermula dengan Akademi Tunas (7-12 tahun), Pusat Latihan Daerah dan Negeri (13-17 tahun). Di Negeri Sembilan, terdapat 5 Akademi Tunas, 5 Pusat Latihan Daerah dan 1 Pusat Latihan Negeri (SMK Za’ba),” tambahnya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.