Pemuda UMNO Seluruh Negara Gerakkan Jentera Bantu Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengarahkan Pemuda UMNO bahagian seluruh negara terutama di kawasan yang berhadapan bencana banjir untuk menggerakan jentera bagi membantu mangsa yang terjejas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau berkata Pemuda UMNO Malaysia juga akan turun ke Terengganu dan Kelantan bagi meringankan beban mangsa dan juga jentera parti tempatan yang membantu.

“Semoga semua saudara kita yang diduga dengan dugaan banjir dipermudahkan urusan dan diberikan kesihatan yang baik buat mereka.

“Saya telah mengarahkan semua pemuda UMNO bahagian untuk menggerakkan jentera pemuda UMNO untuk membantu masyarakat sekitar yang terkesan.

“Insya-Allah bantuan pemuda UMNO Malaysia akan sampai di Terengganu dan Kelantan dalam tempoh terdekat ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Dr Akmal menerusi hantaran terbaharu turut dilihat meninjau beberapa kawasan yang dinaiki air di Merlimau selepas hujan turun dari lewat malam semalam hingga ke pagi ini.

Terdahulu, situasi banjir di seluruh negara terus memburuk terutama di Kelantan sehingga awal pagi ini.

Jumlah keseluruhan mangsa kini mencecah 73,390 orang daripada 22,699 keluarga di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.