Banjir Kelantan: Wan Rosdy Zahir Simpati, Doa Agar Keadaan Kembali Pulih
KUALA LUMPUR, 29 Nov – Menteri Besar Pahang menzahirkan simpati di atas bencana banjir yang berlaku di Kelantan dan berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sedia kala.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO memahami segala kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir tersebut.
“Saya melahirkan rasa simpati atas nasib mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas dalam bencana ini terutamanya di Kelantan dengan 54,349 mangsa banjir telah pun dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
”Saya amat memahami kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh mangsa banjir dalam menghadapi musibah ini. Rumah yang terjejas, harta benda yang musnah, dan kehidupan yang terganggu.
“Rumah yang terjejas, harta benda yang musnah, dan kehidupan yang terganggu.
Semoga semua mangsa banjir terus tabah dalam menghadapi ujian ini dan marilah kita berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala dan dilindungi Allah SWT,” katanya
Pada Jumaat media melaporkan bilangan penduduk terjejas banjir di Kelantan terus bertambah namun tidak terlalu mendadak berbanding tengah malam tadi.
Setakat pukul 6.00 pagi tadi seramai 59,187 orang berada di 221 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan semua 10 jajahan.
Berdasarkan laman InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas kekal tertinggi dengan lebih 22,000 penduduk berlindung di 53 PPS yang aktif di jajahan itu.
Sementara itu hampir semua sungai-sungai utama di negeri itu telah melepasi paras bahaya kecuali Sungai Lebir di Tualang serta Sungai Galas di Dabong yang berada pada paras amaran.
Bagaimanapun kebanyakan bacaan paras air sungai terutama di kawasan hulu Kelantan juga sedang menunjukkan trend penurunan. – UMNO Online