UMNO Beaufort Sentiasa Cakna, Semarakkan Semangat Permuafakatan Demi Rakyat

BEAUFORT, 28 Nov – UMNO terus berusaha untuk memperkukuh jalinan bersama rakyat dengan memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan sosial dan perpaduan di kalangan masyarakat.

Dalam hal ini, Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat meneruskan komitmen dan keprihatinan terhadap rakyat dengan menyokong penuh pelbagai program yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat permuafakatan serta memperkasa perpaduan di kawasan tersebut.

Katanya, setiap lapisan masyarakat perlu mendapat perhatian yang sewajarnya, sama ada dalam bentuk pembangunan ekonomi, sosial, atau kesukanan kerana ia bukan sahaja memberi impak positif dalam aspek kesihatan dan pembangunan modal insan, tetapi juga memperkukuhkan hubungan dalam kalangan rakyat.

“UMNO Bahagian Beaufort sentiasa cakna dan prihatin terhadap keperluan masyarakat setempat serta menyokong usaha-usaha yang dilaksanakan oleh mana-mana pihak demi rakyat.

“Kami percaya bahawa melalui pelbagai program, kita dapat mengeratkan perpaduan rakyat, memperkasa komuniti, dan menyediakan platform untuk masyarakat menyuarakan aspirasi mereka.

“UMNO akan terus bekerja bersama rakyat untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu, beliau telah menyempurnakan perasmian Program Kursus Kejurulatihan Tahap 1 (Siri 3) Kebangsaan, yang berlangsung di Dewan KEMAS Beaufort, diikuti dengan Sukan Tradisional anjuran Wanita PDM Tenambak yang diadakan di Bahoi Lahat Napalud, serta Pertandingan Badminton Ala Kampung Siri 4 Berpasukan Gabungan dan Open yang berlangsung di Dewan Awang Semaun, Menumbok, baru-baru ini.

Awang Aslee menyampaikan penghargaan kepada pelbagai pihak yang terlibat dalam menganjurkan beberapa program ini dan menyokong usaha tersebut kerana ia memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Program sebegini bukan sahaja menggalakkan aktiviti riadah, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara penduduk setempat, selain memperkenalkan nilai kerjasama dan semangat kekitaan yang dapat menyumbang kepada pembangunan fizikal dan mental komuniti.”

Dalam masa yang sama, Awang Aslee menjelaskan bahawa gerak kerja turun padang menyantuni rakyat dari rumah ke rumah tetap diteruskan dari semasa ke semasa.

“UMNO Bahagian Beaufort menjadi tunjang kepada pembangunan masyarakat di kawasan tersebut dengan melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat. Tekad kami adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan, serta menggalakkan perpaduan yang lebih kukuh antara semua lapisan masyarakat.

“Diharapkan agar rakyat di sini terus memberi sokongan kepada usaha-usaha ini demi menjamin masa depan yang lebih cerah dan harmoni untuk semua,” katanya lagi.

Antara gerak kerja yang dilaksanakan oleh UMNO Bahagian Beaufort melalui Biro Kebajikannya ialah menyantuni Awang Damit Yunus di Kampung Illanun dan Samain Suman di Kampung Linsuk Kuala Penyu yang bakal mengadakan majlis perkahwinan tidak lama lagi.

Begitu juga di Menumbok, melibatkan Mohd Syahrin Jefry di Kampung Darat dan Bobby Jasuli di Kampung Limbawang yang turut menerima sumbangan bagi meringankan beban perbelanjaan untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Tidak dilupakan dalam program ziarah ini ialah mereka yang kehilangan ahli keluarga, antaranya ahli keluarga Allahyarhamah Husin Elin di Kampung Limbawang, Allahyarham Norbibi Nazurah Sabdin di Kampung Selagon, dan Allahyarham Nurfazilah Ahmad di Kampung Luagan.

“Salam takziah kepada ahli keluarga yang kehilangan mereka tersayang. Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan khususnya ahli jawatankuasa UMNO Beaufort empat peringkat. Ayuhlah kita terus bekerja demi rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit