Sambutan Jubli Emas BN Pada 7 Disember – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 Barisan Nasional (BN) akan diadakan pada 7 Dis ini, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Bilik Mesyuarat BN, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam tadi.

“Semoga perbincangan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat ini dapat terus memperkukuh perjuangan sebuah pasukan Barisan Nasional. Insya-Allah. Barisan Nasional, Pendukung Aspirasi Rakyat,” katanya melalui hantaran di Facebook miliknya.

Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa mesyuarat itu membincangkan isu-isu semasa yang berkait rapat dengan kepentingan dan kebajikan rakyat.

Gabungan BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

BN ditubuhkan pada 1 Jun 1974 oleh Tun Abdul Razak Hussein, yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.

Gabungan politik ini dibentuk untuk menggantikan Parti Perikatan, dengan tujuan memperkukuh perpaduan antara pelbagai parti politik di Malaysia. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit