Pas Terengganu Kering Idea Slogan ‘Maju Berkat Sejahtera’ Sekadar Omong Kosong – Mohd Iskandar

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Naib Ketua Bahagian UMNO Setiu, Mohd Iskandar Jaafar menyifatkan slogan ‘Maju Berkat Sejahtera’ yang dibawa kerajaan negeri Terengganu sebagai omong kosong dengan menggambarkan mereka sebagai kering idea dalam mentadbir negeri.

Menurut beliau, ia dibuktikan apabila sejak Pas mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional (BN) pada 2018, Terengganu hanya mencatatkan perkembangan ekonomi sekitar 9 peratus sahaja.

“Pimpinan Pas Terengganu ternyata sudah kekeringan idea untuk meyakinkan rakyat negeri ini bahawa mereka adalah sebuah kerajaan yang mampu memerintah dengan baik.

“Pas sedar dengan prestasi ekonomi Terengganu yang sangat teruk hari ini mereka perlu mencari jalan untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap kegagalan mereka memerintah dalam tempoh lebih sepenggal, malah Terengganu hanya mencatatkan perkembangan ekonomi sekitar sembilan peratus sahaja.

“Ternyata setelah masuk penggal kedua pemerintahan mereka, rakyat mula sedar bahawa Pas bukanlah sebuah parti yang cekap untuk menguruskan kerajaan negeri yang boleh membawa kesejahteraan kepada rakyat. Slogan ‘Maju, Berkat, Sejahtera’ ternyata hanya omongan kosong kerajaan Pas Terengganu,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mohd Iskandar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata bagi mengalihkan kegagalan tersebut Pas Terengganu mengubah strategi mereka dengan menyerang dan menyalahkan parti lawan.

Menurut beliau mereka menyerang program yang diaturkan oleh Kerajaan Perpaduan kerana bimbang ia memberikan impak positif kepada kesejahteraan rakyat terutama dalam ekonomi dan pendidikan.

Tambah beliau, Program Kesedaran Pendidikan Anak Desa anjuran agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah contohnya, mendapat pengiktirafan oleh peserta yang mengakui program tersebut memberikan manfaat kepada mereka dalam menentukan hala tuju pendidikan selepas alam persekolahan.

“Tindakan menyerang dan memburukkan pemimpin UMNO yang terlibat di dalam program-program pendidikan sama ada di peringkat institut pengajian tinggi atau sekolah-sekolah menengah adalah satu helah menarik perhatian rakyat untuk tidak memberi fokus terhadap kegagalan mereka mentadbir kerajaan negeri Terengganu.

“Tambahan lagi, setiap program pendidikan yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan Persekutuan itu telah mendapat sambutan sangat baik dalam kalangan pelajar dan para guru.

“Serangan demi serangan terhadap UMNO hanya memperlihatkan manifestasi kegagalan Pas dalam mentadbir kerajaan Terenggau, sebaliknya mereka mengambil jalan mudah dengan cara menyalahkan pihak kerajaan dan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menutup kepincangan Pas Terengganu,” ujar beliau. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit