KESUMA Akan Teliti Semula Semua Akta Perburuhan Termasuk Seksyen 60E Akta Kerja 1955 – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 28 Nov – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan meneliti semula semua akta perburuhan termasuk seksyen 60E Akta Kerja 1955 mengenai kelayakan cuti tahunan, menerusi reformasi undang-undang perburuhan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menerusi pindaan terakhir yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023, KESUMA komited dalam menjaga kebajikan pekerja di negara ini.
“Akta Kerja 1955 telah dipinda sebanyak 12 kali dan kali terakhir pada 2022 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023. Menerusi pindaan ini, KESUMA komited dalam menjaga dan melindungi kebajikan golongan pekerja di negara ini.
“Sehubungan itu, KESUMA akan meneliti semula semua akta perburuhan termasuk seksyen 60E Akta Kerja 1955 mengenai kelayakan cuti tahunan, menerusi reformasi undang-undang perburuhan,” katanya ketika sesi soal jawab di Parlimen sebentar tadi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, seseorang pekerja berhak mendapat cuti tahunan berbayar mengikut tempoh perkhidmatan.
“Di bawah peruntukan seksyen 60E Akta Kerja 1955, seseorang pekerja
berhak mendapat cuti tahunan berbayar. Pertama, lapan hari untuk pekerja yang bekerja bagi tempoh kurang dua tahun.
“Kedua, 12 hari untuk pekerja yang berkhidmat bagi tempoh dua tahun atau lebih tetapi kurang daripada lima tahun. Ketiga, 16 hari untuk pekerja yang telah bekerja bagi tempoh lima tahun atau lebih,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh meminta Menteri Pembangunan Sumber Manusia untuk menyatakan perancangan kerajaan bagi mengkaji semula Akta Kerja 1955 melibatkan kebajikan pekerja swasta khususnya berkaitan cuti tahunan. – UMNO Online