Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025: Landasan Utama Hadapi Cabaran Global – Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah percaya kepengerusian Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 sebagai peluang untuk meraikan kebudayaan Malaysia sebagai lambang harmoni ASEAN.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers Club-BBC) berkata ia kerana elemen seperti festival budaya, dialog serantau dan promosi pelancongan berteraskan ASEAN akan menjadi tarikan utama untuk mengukuhkan semangat keterangkuman.

“Sebanyak 297 mesyuarat akan diadakan sepanjang kepengerusian yang melibatkan delegasi serantau dan antarabangsa. Saya yakin Malaysia berpeluang mencipta sejarah dengan memacu Visi Komuniti ASEAN 2045 untuk memastikan kestabilan politik, kelestarian ekonomi, dan kesejahteraan sosial bagi generasi akan datang.

“Dengan pendekatan proaktif, kepengerusian ini mampu menjadi landasan utama ASEAN menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, dan geopolitik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Hantaran tersebut itu juga rentetan sesi BBC Breakfast With Minister Bil – Persediaan Malaysia Menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang diadakan pagi tadi.

Mohd Shahar dalam pada itu berkata Malaysia akan memainkan peranan penting sebagai Peneraju Utama bagi pembangunan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang bakal dilancarkan pada sidang kemuncak di Kuala Lumpur.

Kata beliau lagi ini kerana dari sudut perspektif ekonomi, ASEAN 2025 akan memberi tumpuan kepada penyusunan semula kekuatan rantau untuk memperkukuhkan rantaian bekalan serantau.

“Fakta ini jelas apabila saya melihat nilai perdagangan intra-ASEAN sebenarnya masih rendah, hanya mencatatkan sekitar 22 peratus daripada jumlah perdagangan global ASEAN pada 2023, berbanding 60 peratus di EU.

“Maka, adalah menjadi keperluan untuk kita mengambil langkah proaktif yang tepat bagi meningkatkan integrasi ini dimana pelaksanaan RCEP mungkin membuka pintu harmonisasi dasar perdagangan serantau,” ujar beliau. – UMNO Online

[the-post-grid id="151977" title="post"]
@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.