Terus Perkasakan KEMAS Untuk Manfaat Bersama, Seiring Teknologi Digital – ADUN Juasseh

SEREMBAN, 27 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid semalam membangkitkan beberapa perkara berkaitan isu berhubung hal ehwal KEMAS pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dalam usaha memperkasakan lagi peranan institusi tersebut.

Menurut beliau pemodenan kursus-kursus KEMAS dengan menggunakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) boleh membantu meningkatkan keberkesanan pembelajaran, juga melahirkan komuniti yang lebih cekap serta berdaya saing dalam era internet yang pantas ini.

“Negara-negara maju kini sudah menerapkan teknologi AI bukan hanya dalam sektor ekonomi, tetapi juga dalam pendidikan. Oleh itu, KEMAS sebagai institusi penting dalam membina kapasiti rakyat di peringkat akar umbi mesti melangkah seiring. Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang sedang berkembang pesat, tidak boleh tertinggal dalam arus digitalisasi dunia.

“Penggunaan AI dalam pengurusan KEMAS dapat membantu mempertingkatkan kecekapan pentadbiran, seperti menjadualkan kursus dan program secara automatik. Selain itu ianya juga mampu memantau kehadiran dan prestasi peserta dengan analitik pintar serta mengurangkan masa pengurusan manual, membolehkan tenaga kerja KEMAS memberi fokus kepada program pembangunan masyarakat,” katanya.

Katanya lagi penerapan AI dalam silibus kanak-kanak juga boleh diberikan perhatian pendidikan awal kanak-kanak yang menekankan literasi digital akan melahirkan generasi muda yang celik teknologi dan berdaya saing.

“Saya juga menyokong penuh cadangan Exco Kanan agar jawatan Pegawai KEMAS Daerah (PKD) diwujudkan. Jawatan ini bukan sahaja dapat memperkasakan pengurusan KEMAS di peringkat daerah tetapi juga akan memberikan fokus khusus kepada penambahbaikan program di kawasan masing-masing.

“Kita memerlukan kepimpinan di peringkat daerah yang dapat menerajui perubahan dan memastikan Negeri Sembilan kekal relevan dalam dunia yang semakin digital,” tambahnya.

Tambahnya lagi penumpuan kepada sistem digital yang lebih cekap sudah pasti mampu emmberikan kelebihan dan manfaat kepada warga kerja KEMAS.

“Tidak dapat dinafikan bahawa beban tugas warga kerja KEMAS adalah berat. Mereka perlu mengurus program, mendidik kanak-kanak, dan pada masa yang sama memenuhi keperluan komuniti. Oleh itu, kita mesti mempermudah beban kerja mereka melalui sistem digital yang lebih cekap, seperti pengurusan dokumen secara automatik.

“Pada masa yang sama latihan berterusan kepada warga kerja KEMAS untuk memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran teknologi masa kini juga amat perlu dititiberatkan dan dengan sokongan ini, warga kerja KEMAS boleh terus fokus kepada tugas-tugas utama mereka untuk membangun dan memperkasa masyarakat,” tambahnya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit