Penyertaan Malaysia Bersama BRICS Luaskan Lagi Keberadaan Malaysia Di Pentas Antarabangsa – Mohamad

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penyertaan Malaysia di dalam kumpulan BRICS merupakan salah satu platform baru untuk melebarkan lagi keberadaan Malaysia di pentas antarabangsa.

Menurut beliau BRICS yang dianggotai oleh sembilan buah negara dengan saiz pasaran kumulatif hampir 3.2 bilion penduduk, mampu memperluaskan akses pasaran produk dan perkhidmatan Malaysia ke Negara Anggota BRICS, serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan langsung asing.

“BRIC merupakan akronim kepada nama-nama negara yang menganggotai kumpulan yang lima tersebut. Pada mula-mula ia ditubuhkan pada tahun 2009 iaitu empat negara BRIC belum ada S lagi iaitu Brazil, Russia, India, dan China pada 2009. Kemudian pada tahun 2010 South Africa ataupun negara Afrika Selatan menganggotainya maka terpanggil BRICS.

“Ia merupakan suatu keanggotaan negara-negara yang besar yang mempunyai jumlah penduduk yang besar dan ramai yang mempunyai GDP ataupun pertumbuhan ekonomi yang besar dunia. Penduduknya hampir 40% penduduk dunia dia punya pertumbuhan ekonomi jumlah ekonominya melebihi 25% ekonomi dunia.

“Jadi ianya bukanlah merupakan kumpulan negara yang diasaskan berasaskan kepada ketenteraan. Tidak ada pakatan ketenteraan dan tidak ada yang perlu ditandatangani oleh negara-negara anggota. Maka itu Malaysia melihatnya sebagai satu platform yang baru untuk kita melebarluaskan kita punya keberadaan di pentas antarabangsa,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Parlimen hari ini.

Terdahulu Ahli parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah yang diperoleh hasil daripada lawatan Perdana Menteri ke India serta Rusia, apakah perkembangan keahlian Malaysia dalam BRICS dan apakah kesan kepada hubungan Malaysia dengan negara G7 setelah permohonan Malaysia dalam BRICS.

Mohamad seterusnya menambah BRICS ini merupakan satu pentas yang amat besar dianggotai ianya merupakan satu tambah nilai yang amat besar kepada negara dan pada awal tahun ini, BRICS telah membenarkan kemasukan empat buah negara yang baru sebagai anggota iaitu Iran, Mesir, UAE, dan juga Ethiopia.

“Perdana Menteri telah mengumumkan hasrat supaya Malaysia menyertai BRICS pada Jun 2024. Susulan itu, Malaysia telah dijemput untuk menghadiri Sidang Kemuncak Heads of State and Government Meeting in the BRICS Outreach/BRICS Plus pada 23 – 24 Oktober 2024, di Kazan, Persekutuan Rusia. Maka Malaysia telah pun diterima sebagai anggota BRICS

“Alhamdulillah walaupun tidak secara rasmi diwar-warkan tetapi kita telah menerima surat bahawa Malaysia telah diterima sebagai rakan negara ataupun country partner dan saya telah pun mengutus surat terima kasih kepada rakan sejawat saya daripada Rusia menyatakan kami amat gembira di atas keputusan yang telahpun dibuat semasa summit BRICS di Kazan baru-baru ini,” tambahnya.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit